My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 19 September 2016

    Sebanyak 60 Kes Bunuh Diri Sebulan



    Kebelakangan ini gejala bunuh diri banyak memenuhi dada akhbar di Malaysia malah ia seperti satu fenomena yang sudah biasa berlaku sama seperti kejadian bunuh diri di luar negara. Misalnya, China merekodkan kejadian paling ramai rakyatnya membunuh diri.

    Dianggarkan setiap tahun, lebih 300,000 penduduk China membunuh diri, lebih sepuluh kali ganda daripada jumlah bunuh diri tahunan di Amerika Syarikat (AS). Negara lain yang mencatat kejadian bunuh diri tinggi termasuk Jepun dan Korea.

    Berkaitan dengan itu, pungutan data Pusat Registri Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia (NSRM-National Suicide Registry Malaysia) mendapati sekurang-kurangnya dua orang membunuh diri setiap hari dengan kadar purata 60 orang dalam sebulan.

    Fenomena bunuh diri di Malaysia kini didapati menyamai trend bunuh diri di AS. Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) mendapati setiap tahun, satu juta orang akan meninggal dunia kerana membunuh diri, dengan anggaran purata sebanyak 3,000 kejadian setiap hari.

    Menurut Pakar Psikiatri Hospital Canselor Tunku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTUKM), Dr Hazli Zakaria, melihat kepada trend bunuh diri di Malaysia yang berada di tahap yang membimbangkan, tetapi tidaklah sehingga mampu mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

    “Bunuh diri adalah kelakuan spontan yang timbul apabila seseorang itu putus asa dan beranggapan kehidupan tidak lagi berguna. Bagi mereka, kematian adalah satu-satunya jalan penyelesaian. Lebih banyak kesedaran perlu diterapkan mengenai isu ini supaya lebih ramai berjaga-jaga daripada memendam masalah yang boleh mendorong mereka membunuh diri sebagai jalan terakhir,” katanya ketika ditemui di hospital itu baru-baru ini.

    Menurut beliau, meskipun ada peningkatan dalam kes bunuh diri, keadaan itu tidak dilihat seperti wujudnya trend seperti yang diuar-uarkan sesetengah pihak. “Anggapan ini terjadi kerana dahulu kita jarang didedahkan dengan kes seperti ini, namun dengan adanya media sosial untuk membuat perkongsian mengenai isu semasa membuatkan kes bunuh diri sentiasa perlu ‘diambil tahu’.

    “Tidak salah untuk ambil tahu dan melihatnya satu bentuk kesedaran tetapi bagi mereka yang melihat dari sudut berbeza, kes yang dilaporkan secara terbuka adalah contoh untuk ditiru dan merasakan mereka juga boleh membuat perkara sedemikian.

    “Ini sangat membimbangkan apabila kanak-kanak ada yang membunuh diri kerana tindakan itu adalah gejala yang mudah untuk diikuti oleh sesiapa sahaja,”katanya. Dalam kebanyakan kes bunuh diri, ia berlaku akibat ketidakmampuan individu menghadapi tekanan kehidupan yang dialami. 

    Mereka merasakan meneruskan kehidupan bukan idea yang baik, sebaliknya lebih menambah kesengsaraan. Justeru, bunuh diri jalan terakhir sebagai penyelesaian. Ada juga kes di mana individu itu merasakan diri mereka disisihkan, berasa sunyi dan tidak dipedulikan, serta kecewa dan dihantui masalah kemurungan.

    “Individu yang berniat untuk membunuh diri sebenarnya sentiasa dalam keadaan berbelah bagi dan tidak tahu sama ada pilihan yang betul atau sebaliknya. Namun, jika ada sesuatu yang ‘menyuruh’ untuk terus melakukan perkara itu, terjadilah kes bunuh diri seperti minum racun, menggantung diri, terjun bangunan, overdose dadah dan sebagainya,” katanya.

    Gejala bunuh diri juga sering berlaku dalam kalangan pesakit mental kronik, seperti skizofrenia, kecelaruan personaliti, dan mereka yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah serta alkohol. Bunuh diri sering dikaitkan dengan tekanan (stress) kerana secara rasionalnya tiada individu sihat dan seronok menjalani kehidupan, sanggup mengambil keputusan sebegitu.

    Lebih buruk jika sistem sokongan masyarakat lemah, membuatkan mereka melihat bunuh diri sebagai satu-satunya jalan menyelamatkan keadaan. “Ada juga individu tiada masalah kemurungan, tetapi masalah bertimpa-timpa dalam satu masa seperti gagal dalam peperiksaan, putus cinta, berhutang dan dibuang keluarga menyebabkan mereka tidak mem­punyai cara lain untuk mengakhirinya,” katanya. 

    Selain bunuh diri, ada satu lagi kategori berkaitan iaitu cubaan membunuh diri. Cubaan bunuh diri difahami sebagai satu tindakan bagi membunuh diri, atau cubaan untuk mendatangkan kematian bagi diri sendiri tetapi tidak semestinya berjaya.

    Dalam peringkat ini, individu itu berkemungkinan akan terus berusaha mencapai hasrat untuk mati atau mereka akan berpatah balik untuk menjalani kehidupan yang seterusnya secara normal. Menurutnya, kes dilaporkan di mana-mana hospital kebanyakannya menerima pesakit yang melakukan percubaan untuk membunuh diri.

    Oleh sebab itu, pentingnya pengesanan awal serta sokongan moral daripada keluarga dan masyarakat untuk membantu mereka berjumpa dengan pakar perubatan bagi mengelak kejadian bunuh diri daripada terus berlaku.

    “Dalam keadaan tertentu, masyarakat kita juga tidak memberikan sokongan sewajarnya. Misalnya, apabila ada ahli keluarga ditimpa musibah teruk seperti konflik rumah tangga atau masalah kewangan, individu itu akan terus dilabelkan sebagai punca masalah.

    “Ini menjadikan pesakit tadi tidak mempunyai jalan keluar untuk berkongsi masalah. Ada juga yang sejak awal menunjukkan simptom kemurungan namun orang sekeliling lebih senang melabelnya ‘orang gila’ dan menjauhkan diri tanpa membantu mendapatkan rawatan kerana masayarakat menganggap isu kesihatan psikologi tidak mampu dirawat,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Sebanyak 60 Kes Bunuh Diri Sebulan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top