My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 21 September 2016

    Konvoi Bantuan Ke Syria Dibom


    Sebuah konvoi membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk di bandar Aleppo menjadi sasaran serangan udara beberapa jam selepas tentera Syria mengisytiharkan gencatan senjata selama seminggu yang ditaja oleh Amerika Syarikat (AS) dan Rusia telah berakhir.  

    Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, sekurang-kurangnya 18 daripada 31 lori konvoi itu musnah lewat kelmarin ketika dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan ke bandar yang sukar ditembusi, Orum Al-Kubra.

    Kumpulan Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) memberitahu, seramai 12 sukarelawan dan pemandu persatuan Bulan Sabit Merah Arab maut dalam serangan itu, manakala ketua agensi bantuan PBB, Stephen O’Brien berkata, siasatan awal mendapati ramai mangsa terbunuh atau parah. SOHR bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada serangan udara itu dilakukan oleh tentera Syria atau Rusia.

    Konvoi Bulan Sabit Merah dan PBB itu cuba mengambil kesempatan gencatan senjata tersebut yang berakhir malam kelmarin selepas peluru meriam menghujani bandar Aleppo dan wilayah sekitarnya. Menurut SOHR, sebanyak 36 orang terbunuh dalam keganasan di wilayah Aleppo. Seorang koresponden agensi berita AFP di Aleppo pula berkata, bandar itu dihujani bom tanpa henti. 

    Serangan ke atas konvoi itu dijangka mencetuskan kemarahan dunia pada Perhimpunan Agung PBB di New York. AS sebelum ini menegaskan, syarat utama gencatan senjata Syria itu adalah membenarkan penghantaran bantuan kepada penduduk terkepung di kawasan yang dikuasai kumpulan penentang rejim Presiden Bashar Al-Assad.

    Ketua Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Kemanusiaan PBB di Syria, Jan Egeland berkata, konvoi itu dibom walaupun telah melaporkan pergerakan mereka kepada semua pihak yang terlibat dalam perang saudara di negara itu.

    Dalam perkembangan berkaitan, tentera Syria mengisytiharkan penamatan gencatan senjata itu awal kelmarin selepas menuduh kumpulan penentang melakukan 300 pe­langgaran dan gagal mematuhi walaupun satu syarat perjanjian tersebut.

    “Tentera Syria mengumumkan penamatan gencatan senjata yang bermula pada pukul 7 petang 12 September 2016 berlandaskan persetujuan antara AS dan Syria,” kata kenyataan itu yang disiarkan agensi berita SANA.

    Gencatan senjata pada mulanya menyaksikan penurunan dalam pertempuran dan keganasan. Namun, pertempuran kembali meningkat sepanjang minggu lalu dengan gencatan senjata itu menjadi semakin rapuh pada hujung minggu. Setiausaha Negara AS, John Kerry memberi amaran bahawa gencatan senjata itu merupakan peluang terakhir untuk menyelamatkan Syria daripada kemusnahan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Konvoi Bantuan Ke Syria Dibom Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top