My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 20 September 2016

    Gabungan Tun Mamat, Puteri Gunung Ledang




    KISAH Tun Mamat dan Puteri Gunung Ledang dipentaskan dalam sebuah teater, bukanlah suatu yang asing lagi. Pun begitu, sejarah Melayu yang berkisar di negeri Melaka ini tidak pernah jemu untuk dipertontonkan kepada khalayak. 

    Justeru, istimewa sempena perasmian Panggung Bangsawan Melaka (PBM) yang terletak di Jalan Munshi Abdullah, Melaka, sebuah teater bangsawan Tun Mamat Dan Puteri Gunung Ledang akan dipentaskan. Menampilkan penyanyi dan pelakon popular, Awie sebagai Tun Mamat, Vanidah Imran (Puteri Gunung Ledang) dan Datuk Jalaludin Hassan (Sultan Melaka), teater tersebut akan dipentaskan selama dua hari bermula 30 September ini dan 1 Oktober depan.

    Pengarahnya, Lokman Ghani memberitahu, biarpun kisah sejarah negeri Melaka yang melibatkan Hang Tuah, Sultan Melaka, Tun Mamat dan Puteri Gunung Ledang (PGL) sering diangkat, namun pementasan teater kali ini berbeza dan disifatkan begitu istimewa.

    “Ini bukan kali pertama pementasan diadakan. Saya mula mengarah teater ini sejak tahun 1992 di Panggung Bandaraya lagi. Kelainan yang akan saya lakukan pada teater kali ini adalah penampilan Puteri Gunung Ledang yang lebih kerap berbanding kisah asal dan lebih menarik semua pelakon utama dikehendaki menyanyi secara langsung,” ujar Lokman dalam sidang akhbar pelancaran teater bangsawan Tun Mamat Dan Puteri Gunung Ledang di Istana Budaya baru-baru ini.

    Ditanya mengenai pemilihan pelakon, ujar pengarah itu, beliau sengaja memilih barisan nama besar kerana pementasan teater tersebut dibuat bersempena dengan perasmian PBM yang asalnya merupakan panggung Cathay Cinema. Panggung tersebut merupakan panggung wayang tertua di Melaka dan diberi wajah baharu menjadi PBM.

    Selepas perasmian tersebut, pelbagai pementasan teater akan diadakan di sana. “Memandangkan pementasan ini bersempena dengan perasmian PBM, jadi saya minta Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani menyenaraikan beberapa nama besar. Ketika itu, tiada nama lain yang lebih layak selain daripada Awie, Jalaludin Hassan dan Vanidah Imran.

    “Insya-Allah, dengan tenaga pelakon yang hebat dan ditambah pelakon daripada Istana Budaya, saya yakin teater ini dapat dipentaskan dengan jayanya,” ujarnya.

    Semangat

    Sementara itu, Awie yang membawa watak Tun Mamat memberitahu, peluang untuk menjayakan teater bangsawan tersebut menyuntik semangat dalam kerjayanya.

    “Sebenarnya berlakon dalam sebuah teater yang berbentuk bangsawan merupakan minat saya sejak dari dahulu. Teater ini merupakan teater epik kedua saya selepas Takhta 3 Ratu. Apabila dapat membawakan watak Tun Mamat pastinya ia membuatkan saya lebih bersemangat,” ujarnya yang kini sedang giat menjalankan sesi latihan di Kuala Lumpur.

    Ditanya adakah dia masih berdepan dengan cabaran untuk melakonkan teater bangsawan itu, jawab Awie: “Pada saya, teater bangsawan agak sukar sebab pelakon perlu menggunakan bahasa Sanskrit dan bahasa istana yang memerlukan protokol berbanding bahasa lain.

    “Bagaimanapun, saya rasa cabaran ketika saya membawakan babak berlawan. Ketika itu, saya perlu mengingat langkah dan skrip tetapi tidak mengapa kerana saya akan cuba fokus dan menghafal skrip dengan lebih terperinci. Saya yakin dengan latihan demi latihan, saya dan pelakon lain dapat membawakan teater ini dengan baik.”
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Gabungan Tun Mamat, Puteri Gunung Ledang Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top