My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 19 September 2016

    'Jangan Balik Malaysia...'



    “Jangan balik!” Itu nasihat pengkritik bola sepak tempatan, Serbegeth Singh buat pemain muda, Wan Kuzain Wan Kamal yang kini menetap di Amerika Syarikat (AS) bersama keluarganya supaya terus kekal di negara itu, sekali gus menggapai impiannya bergelar pemain profesional. 

    Menurut Serbegeth atau Shebby, potensi yang ada pada Kuzain cukup besar dan beliau bimbang perkembangannya akan terjejas jika pemain berusia 18 tahun itu memilih untuk pulang beraksi di Liga Malaysia (Liga-M) dan mewakili skuad kebangsaan.

    “Saya langsung tidak setuju kalau Kuzain balik dan beraksi bersama pasukan negara atau mana-mana pasukan dalam liga tempatan. Memang negara akan rugi jika dia memilih untuk bermain bersama pasukan kebangsaan AS sekiranya ada tawaran kelak, tapi itu jugalah peluang kita nak lihat anak Malaysia bermain dalam Piala Dunia.

    “Bagi saya, dia tiada masa depan di sini (Liga-M), namun kalau berjaya memikat kelab profesional di sana, hidupnya akan lebih baik dan secara tidak langsung dapat memberi inspirasi kepada pemain Malaysia untuk menjadi sepertinya.

    “Saya bukan berniat untuk memburukkan mutu bola sepak sendiri tapi, itulah realiti sebenar. Saya cuma mahu Kuzain berjaya dalam kariernya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

    Menerusi laporan akhbar ini semalam, Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan mencadangkan agar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil langkah awal dengan menawarkan peluang kepada Kuzain menyarung jersi negara.

    Jelas Sathianathan, FAM harus mencontohi beberapa negara serantau seperti Thailand yang berjaya memujuk bintang bola sepaknya, Charly Chappuis untuk beraksi dengan skuad Gajah Putih itu. Malah katanya, Filipina juga sudah menggunakan kaedah naturalisasi bagi menguatkan cabaran pasukan negara itu setiap kali beraksi di pentas antarabangsa dan hasilnya mereka kini berada di ranking FIFA yang lebih tinggi berbanding Malaysia.

    Serbegeth yang pernah dilantik Penasihat Global kelab Liga Kejuaraan, Blackburn Rovers tidak mahu Kuzain memilih jalan salah seperti mana dilakukan beberapa pemain naturalisasi sebelum ini. 

    “Kita sudah ada contoh seperti Brendan Gan dan Matthew Davies dengan kedua-duanya boleh mencipta nama dalam Liga Australia. Tapi, tengok sekarang, apabila mereka bermain dalam Liga-M dan Harimau Malaysia, potensi mereka nampak terhad dan tidak berkembang.

    “Malah, saya juga tidak nampak apa istimewanya mereka dengan pemain tempatan, seperti setaraf saja. Jadi, saya tidak mahu Kuzain mengalami nasib sama nanti,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: 'Jangan Balik Malaysia...' Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top