Menyelusuri alam rumah tangga dalam profil yang besar dan penuh tekanan, bukan satu kejutan apabila pasangan tersohor dunia, Angelina Jolie dan Brad Pitt mengakhiri hubungan asmara mereka. Retaknya hubungan dan kasih sayang yang dijalin sejak tahun 2005 sudah berkicau sekitar November tahun lalu. Sejak itu, berita tentang mereka bakal membawa haluan masing-masing sering dilaporkan.
Bagaimanpun, khabar yang bertebaran tersebut hanya menjadi realiti awal minggu ini. September 2016 menjadi bulan yang menyaksikan Jolie meledakkan kuasanya sebagai seorang wanita apabila memfailkan penceraian terhadap suami yang dikahwini pada 2014 dengan menuntut hak penjagaan enam orang anak mereka selain harta sepencarian bernilai AS$400 juta (RM1.6 bilion).
Jolie, bintang berprofil tinggi dan menjadi dambaan banyak lelaki di seluruh dunia dilihat cukup dominan dalam keputusannya pada kali ini. Sama seperti beliau mencorak sendiri kariernya seperti yang dimahukan, kali ini wanita berusia 44 tahun itu mencetak sejarah buat kali ketiga dalam kehidupan peribadinya.
Beliau bergerak mengikut naluri dan itu yang terjadi apabila berasa rumah tangganya bersama Pitt sudah tidak boleh diselamatkan lagi. Melalui pengurusnya, Geyer Kosinski, Jolie meluahkan sesuatu kepada E! News dalam satu kenyataan. Antara alasan perpisahan mereka, fokus bintang Maleficent itu kini tertumpu kepada anak-anak mereka.
“Jolie akan melakukan yang terbaik untuk melindungi anak-anaknya. Dia sangat menghargai keprihatinan semua. Namun mereka memerlukan sedikit ruang buat waktu ini,” tulis kenyataan itu.
Tidak memperincikan sebab yang mencetuskan perpisahan, Pitt atau nama sebenarnya, William Bradley Pitt, 52, pula merasakan sudah tiba masa untuk dirinya dan bekas isteri membawa haluan masing-masing.
"Saya amat sedih, namun apa yang penting adalah kepentingan anak-anak kami. Saya merayu agak pihak media dapat memberikan anak-anak kami ruang yang diperlukan pada waktu mencabar ini,” kata Pitt dalam satu kenyataan kepada CNN, awal minggu ini.
Karma
Jika diselak helaian sejarah kehidupan Jolie, Pitt bukan lelaki pertama yang berjaya mencuri hatinya. Pemilik nama sebenar Angelina Jolie Voight itu pernah mendirikan rumah tangga dengan dua lelaki iaitu aktor Jonny Lee Miller (1996-1999) dan ahli muzik Billy Bob Thornton (2000-2003).
Cintanya kemudian tumpah kepada lawan mainnya dalam Mr & Mrs. Smith iaitu Pitt. Pitt pada waktu itu masih berkahwin dengan aktres Jennifer Aniston. Kemarahan peminat Pitt dan Aniston menyala saat Jolie dilaporkan memadu asmara dengan aktor itu yang akhirnya bercerai dengan bintang drama bersiri Friends itu sebelum menjalin hubungan bersama Jolie.
Kini, apabila Jolie meninggalkan Pitt, keputusan tersebut dilihat sebagai karma terhadap tindakannya merampas lelaki itu daripada Aniston. Ironinya, apa yang dijalani Jolie dan Pitt yang menerima jolokan Brangelina itu cukup berbeza daripada kehidupan lampau mereka. Mereka menghabiskan hampir separuh kehidupan matang bersama.
Dengan rasa cinta yang menebal, mereka menjadi pasangan kekasih yang setia selama 10 tahun sebelum mengambil keputusan berkahwin dua tahun lalu. Misi mereka adalah memiliki sebuah keluarga yang besar. Kesungguhan tersebut ditunjukkan Jolie apabila mula mengambil tiga orang anak angkat sebelum melahirkan tiga anak bersama Pitt.
Mereka ialah Maddox Chivan, 15, Pax Thien, 12, dan Zahara Marley, 11, (anak angkat) dan Shiloh Nouvel, 10, Knox Léon, 8, serta Vivienne Marcheline, 8. Menjadi seorang ibu yang begitu melindungi anak-anak, tetapi memberi kebebasan sepenuhnya kepada mereka berbanding Pitt yang tegas, perbezaan cara didikan tersebut dikatakan antara faktor utama mereka berpisah.
“Mereka bebas untuk menjadi apapun yang dimahukan dan saya sebagai ibu akan memberikan sokongan penuh. Setakat ini, tiada yang menunjukkan minat dalam bidang lakonan,” ujarnya.
Bagaimanapun, dalam lembut melentur keperibadian anak- anaknya, Jolie tetap tegas dalam membesarkan mereka. “Mereka berhak melakukan dan bereksperimentasi dengan apa sahaja sepanjang proses membesar dan mengenal hidup, tetapi jangan memalukan ibu dan bapa,” katanya dalam temu bual bersama BBC Radio.
Kecanduan
Malah, mengikut laporan portal hiburan terkemuka, TMZ, penceraian difailkan oleh Jolie adalah atas dasar untuk melindungi anak-anaknya. Menurut sumber, Jolie menjadi muak dengan sikap Pitt yang kecanduan bahan terlarang seperti alkohol dan ganja. Sikap buruk itu pada persepsi Jolie membahayakan enam anak mereka.
“Penceraian ini bukan disebabkan orang ketiga. Layanan buruk Pitt kepada anak-anak membuatkan Jolie hadir dengan keputusan tegas iaitu meninggalkannya,” ujar sumber tersebut. Justeru, Jolie menuntut hak penjagaan anak-anak kerana menyifatkan bekas suaminya tidak mampu untuk menjaga anak-anak mereka.
Portal berita CNN melaporkan Jolie turut menuntut untuk menyimpan beberapa barang kemas dan barangan peribadi. Jolie juga menuntut pendapatan selepas mereka mula berpasangan dan aset-aset tertentu yang akan dikemukakan kelak.
Kini, biarpun telah melepaskan belahan jiwanya pergi, Jolie tetap mengenang segala jasa baik dan rasa kasih sayang yang pernah dikongsi bersama Pitt. Bagi wanita tabah itu, puing-puing cinta mereka akan tetap bertebaran wangi di angkasa. “Kadang-kadang, anda perlu sedar bahawa sesetengah orang akan terus berada dalam hati, tetapi tidak lagi dalam kehidupan,” ujar Jolie penuh makna.
0 comments:
Post a Comment