My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 20 September 2016

    Sahut Seruan Fardu Kifayah


    Bukan mudah untuk bersaing dengan pengeluar produk makanan seperti mi kuning yang selama ini dikuasai bangsa lain, tapi bagi wanita ini, tiada yang mustahil asalkan tidak mudah mengalah. Buktinya, Nordiana Kamarudin kini mampu tersenyum dengan usaha, keringat dan air matanya dalam memajukan kilang mi kuning yang diusahakan bersama ahli keluarganya di Labu, Negeri Sembilan sejak sedekad lalu. 

    Anak bongsu daripada lima beradik ini berkata, pembuatan mi kuning berkualiti dan tahan lama tanpa banyak bahan kimia tidaklah semudah yang disangka kerana banyak faktor yang perlu diambil kira untuk memastikan produk yang dihasilkan dapat memuaskan hati pelanggan.

    Antara cabaran utama yang perlu dihadapi termasuk persaingan dengan jenama yang lebih lama di pasaran. Namun niatnya hanya satu iaitu sebagai fardu kifayah bagi memastikan pengguna Islam mudah mendapatkan produk makanan yang bersih dan halal.

    “Mi mungkin makanan yang selalu orang makan, jadi memang ada campuran bahan kimia untuk ketahanan tapi jumlahnya perlu kurang. Kebanyakan maklum balas yang saya terima daripada pembeli menyatakan mi saya tidak pahit seperti mi jenama lain.

    “Saya tidak berputus asa, malah bersungguh-sungguh memperbaiki mi yang saya hasilkan dengan tidak jemu mencuba resipi mi hingga menghasilkan produk tahan lebih lama tanpa banyak bahan kimia,” katanya.

    Disebabkan kurang bahan kimia katanya, mi yang dihasilkan tidak pahit namun ketahanan mungkin kurang iaitu hanya tujuh hari berbanding mi dihasilkan pengeluar lain. Menyingkap liku yang ditempuh wanita berusia 31 tahun ini, penerimaan masyarakat terhadap produk yang dinamakan Delimaz ini menjadi cabaran utama.

    Ini kerana katanya, sejak ditubuhkan pada 2006 hingga 2010 kesedaran orang Islam untuk memilih produk keluaran Muslim masih rendah ketika itu. Ditambah dengan harga yang ditawarkan, syarikatnya tidak membuat pengeluaran besar-besaran selain terpaksa membeli bahan mentah secara borong menjadikan harga mi keluarannya lebih mahal berbanding pengilang lain yang membeli bahan mentah secara pukal.

    Selain itu katanya, stigma masyarakat ketika itu yang menganggap produk mi keluaran orang Melayu tidak tahan, jadi ramai memilih mi buatan kilang bangsa lain. Justeru dari situ, dia menuntut ilmu daripada MARDI malah dirasakannya tidak cukup lalu dia turut belajar dengan pihak lain untuk mempertingkatkan ilmunya.

    “Persaingan memang kuat kerana banyak lagi pengeluar lain. Hakikatnya, terlalu banyak cabaran yang saya lalui antaranya pusingan modal untuk meletakkan barangan di pasar raya besar serta tawaran harga daripada pengeluar besar lain yang lebih murah. Barang mentah pula perlu dibeli secara tunai, kalau kredit diberi pengedar tepung pula tak lama, terpaksa beli sikit-sikit di tempat berbeza.

    “Bukan senang sebenarnya, tapi saya fikirkan ia sebagai fardu kifayah dalam memastikan pengguna Islam mendapatkan produk halal dan bersih. Kalau hantar ke kedai pula, cabarannya perkhidmatan. Takkan saya mahu menghantar 10 beg mi saja ke kedai kecil, ia agak merugikan sebab lokasi yang jauh. Kemudian tiga atau empat hari berikutnya, perlu membuat penghantaran lagi.

    “Pada awalnya memang rugi kerana ketika itu pasaran mi ini tidak meluas. Sebab itu saya perlu lebih ramai pemborong dan dapat memberikan harga kompetitif dan pemborong pula mengedarnya di kawasan mereka, jadi saya tidak perlu ke kedai untuk menghantarnya.

    “Alhamdulillah semakin ramai pemborong yang mengambil mi saya. Tambahan pula pengeluaran mi saya baru-baru ini viral di laman sosial, saya rasa lega kerana ramai bagi maklum balas positif dengan mengatakan mi syarikat ini lebih sedap dan tidak pahit.

    “Kini saya memang mengalu-alukan lebih banyak pemborong dan ejen untuk memasarkan produk saya,” katanya.

    Wanita berusia 31 tahun ini berkata, dia menerima banyak permintaan dari seluruh negara tapi atas faktor ketahanan dan juga kos, produknya hanya diedar di kawasan negeri berdekatan seperti di Selangor, Kuala Lumpur dan Melaka selain seluruh Negeri Sembilan.

    Nordiana memegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengakui minatnya dalam pembuatan makanan sudah bercambah sejak bapanya menyalurkan modal perniagaan kepada kakaknya bagi pengeluaran mi kuning pada 2006.

    Dia kemudian nekad menyambung pengajian dalam jurusan teknologi makanan untuk sama-sama menyumbang dalam perniagaan keluarga. “Selepas tamat pengajian pada 2010, saya sertai perniagaan ini secara serius dan bersesuaian dengan bidang pengajian, saya mengambil alih bahagian pengeluaran dan pemasaran.

    “Manakala kakak saya yang sememangnya mendalami bidang kewangan, fokus pada akaun dan kewangan syarikat. Saya melanjutkan pengajian dalam bidang ini pun kerana mahu mendalami ilmu berkaitan bagi memajukan perniagaan ini. Pada 2006, industri makanan sedang meningkat namun kurang Bumiputera terbabit secara besar-besaran dalam pembuatan makanan.

    “Ketika itu, ayah beri idea dan modal untuk kakak mulakan perniagaan ini, dari situ saya sudah tanam minat dan pilih jurusan itu untuk melanjutkan pelajaran,” katanya.

    Sehingga kini katanya, mi kuning syarikatnya sudah menembusi sembilan pasar raya besar sekitar Negeri Sembilan dan Lembah Klang selain sebilangan pemborong dan ejen. Selain mi kuning, Nordiana turut mengedar produk lain seperti kuetiau, bihun, kek ikan dan bebola ikan keluaran syarikat Muslim lain.

    Sepanjang 10 tahun perjalanan syarikat itu, peningkatan demi peningkatan disaksikan termasuk kini kilangnya sudah menggunakan mesin membuat mi automatik sepenuhnya berbanding mesin manual yang digunakan sejak awal penubuhan syarikat.

    “Kami memperoleh geran daripada SME Corp untuk mesin automatik, namun proses mendapatkannya bukan senang malah ada yang ragu-ragu dengan kebolehan saya ditambah dengan umur masih muda selain banyak faktor perlu dipertimbangkan termasuk akaun serta aliran tunai syarikat sebelum mendapat geran itu,” katanya.

    Walaupun perniagaan keluarga, dia mengakui perjalanan yang ditempuh penuh liku namun ayahnya dijadikan pencetus semangat dan dia perlu membuktikan kepada ayahnya selepas banyak wang sudah dilaburkan untuk operasi syarikat. “Sekarang fokus saya hanya untuk membanggakan ayah. Harapan saya pastinya mahu meluaskan pasaran supaya lebih ramai pembeli mudah mendapatkan mi Delimaz,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Sahut Seruan Fardu Kifayah Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top