Entah dari mana idea yang diperoleh oleh Penasihat Agung DAP, Lim Kit Siang yang mencadangkan kerajaan Pakatan Harapan terutamanya Selangor untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri lebih awal kerana bimbangkan persempadanan semula yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tiada siapa dapat menjawabnya.
Secara tiba-tiba, Lim Kit Siang memikirkan kemungkinan, semua itu dirancang oleh UMNO dan Barisan Nasional untuk merampas semula Selangor dari tangan pembangkang. Walhal, cadangan persempadanan semula ini dibuat melibatkan beberapa Parlimen tanpa mengira Parlimen itu dikuasai oleh BN mahupun pembangkang.

Secara amnya, pentadbiran Selangor kini ditadbir secara bersama oleh PKR, DAP dan PAS. Hari ini, PAS bukan lagi terdiri dari parti komponen utama Pakatan Harapan. Sebaliknya, Parti Amanah Negara (PAN) yang menjadi parti sekutu DAP dan PKR dalam Pakatan Harapan. Jadi, tidak keterlaluan andai untuk mengatakan, PAS Selangor wujud atas ihsan kerajaan PKR serta sekutunya, DAP.
Melihat kepada perseteruan berterusan PAS dan DAP, timbul persoalan, apa reaksi PAS berhubung cadangan Kit Siang serta penolakan Azmin? Adakah mereka terpaksa menyebelahi mana-mana pihak atau berdiri atas prinsip sendiri?

Andai ini terjadi, ini memungkinkan DAP akan mula menekan Azmin untuk menyingkirkan PAS untuk kesekian kalinya, usaha yang digerakkan sejak tahun lalu, sebaik sahaja PAS mengusytiharkan untuk tidak lagi bekerjasama dengan DAP.
Dari reaksi yang ditunjukkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan, tiada lagi sebarang kerjasama dapat dijalankan dengan DAP, pendirian PAS Selangor mudah dijangka. Mungkin selepas ini, Azmin mahupun PAS Selangor akan berhadapan provokasi DAP sekali lagi disebabkan permintaan Kit Siang ini ditolak mentah-mentah oleh Azmin dan PAS menyokong pendirian berkenaan.
0 comments:
Post a Comment