Kerajaan perlu melaksanakan dasar fiskal berhemat melalui pengumuman bajet akan datang bagi membuktikan negara mampu mencatatkan defisit fiskal lebih rendah meskipun dalam kedudukan luar yang sukar.
Pengerusi CIMB Group Holdings, Datuk Seri Nazir Tun Razak berkata, kerajaan dilihat perlu lebih jelas dan mengetahui mengenai perkara apa yang perlu dibelanja dan dikurangkan ketika mengumumkan pelbagai insentif yang baik kepada rakyat kelak.
“Bajet 2017 mesti membuktikan bahawa defisit fiskal lebih rendah mampu dicapai melalui pengurusan perbelanjaan berhemat dan saya berpendapat bidang yang perlu mendapatkan peruntukan lebih adalah pembiayaan dan infrastruktur,” katanya pada media sempena Forum Khazanah Megatrends 2016 di sini, semalam.
Kerajaan berhasrat menurunkan defisit fiskal kepada 3.1 peratus pada 2016 dan merendahkan lagi angka itu pada tahun depan. Sementara itu, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) menjangkakan Bajet 2017 terus memberi fokus pertumbuhan dan masyarakat serta bakal terarah kepada tanggungjawab fiskal berikutan persekitaran ekonomi mencabar.
Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, negara perlu meneruskan enjin pertumbuhan bagi menyokong pembangunannya memandangkan Malaysia memiliki banyak kekuatan termasuk dari aspek geografi.
“Saya percaya kita boleh memanfaatkan kelebihan ini dan melihat ke hadapan untuk terus memainkan peranan selepas ini,” katanya.
Forum Khazanah Megatrends adalah acara tahunan anjuran Khazanah yang membawa pakar untuk membincangkan mengenai trend mega dan menangani perkara berkaitan pasaran, pertumbuhan, kepemimpinan, makro dan sebagainya.
Acara kali ke-12 ini sedang berlangsung bermula 26 September hingga 27 September 2016 di mana ia bertemakan ‘Geography as Destiny’ dan menarik 2,000 peserta tempatan dan antarabangsa terdiri daripada pemimpin korporat, pembuat dasar, pemikir dan pelaksana.
0 comments:
Post a Comment