Pihak polis telah mengenal pasti beberapa individu termasuk anggota penguat kuasa dalam paparan video mengenai kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia ke Tawau. Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata, pihaknya telah mengenal pasti watak dan individu anggota polis dalam paparan itu yang menjadi viral sejak Ahad lalu.
“Namun siasatan lanjut masih dijalankan dan tindakan akan diambil selepas hasil siasatan didapati,” katanya kepada pemberita. Video selama 11 minit itu adalah hasil rakaman media asing untuk menunjukkan betapa mudah PATI Indonesia memasuki Tawau.
Fadil bagaimanapun meragui kesahihan paparan video itu. “Ini kerana kita tidak ada pos CIQ (di Sungai Nyamuk (Indonesia) dan Sungai Melayu (Malaysia). Perairan kita yang dilalui di sini adalah domestik.
“Kita juga ada penduduk Malaysia yang tinggal di Wallace Bay dan Bergosong (Sebatik) yang berulang-alik setiap hari ke Tawau,” katanya.
Beliau juga berkata semua kawasan pantai di Tawau yang jaraknya hampir 100 kilometer dari Indonesia merupakan laluan alternatif kepada laluan haram. Beliau menambah Majlis Perbandaran Tawau akan menutup kawasan pendaratan penduduk Sebatik di Batu-Batu yang dilapor akan dilakukan selepas terminal feri di Dermaga dibuka bulan depan.
0 comments:
Post a Comment