Sejak penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), tumpuan kebanyakan pemerhati politik lebih terarah kepada apa tindak tanduk Tun Dr Mahathir dan para pengikutnya. Pelbagai rencana diciptakan oleh Mahathir sehinggakan agenda pembangkang di Malaysia sedikit demi sedikit berjaya dialihkan.
Sebelum tindak tanduk Mahathir, Pribumi dan pentaksubnya diberi perhatian, semua tindak tanduk kerajaan negeri Selangor pimpinan Datuk Seri Azmin Ali sentiasa menjadi buah mulut dikalangan pro kerajaan. Apa sahaja yang dipersoalkan tentang kerajaan pimpinan Azmin, tiada satu pun dijawab oleh Azmin mahupun kerajaan negeri.
Antara perkara yang kerap dipersoalkan adalah, apa sudah jadi dengan Pintu Gerbang Darul Ehsan yang pada pengumuman Azmin menggambarkan, ianya bakal diperindahkan sebagai menandakan kemajuan dan kekukuhan negeri Selangor.
Bukan sedikit wang yang dibelanjakan. Ianya melibatkan RM 10 juta hanya untuk memperindahkan satu pintu gerbang yang terdapat di Lebuhraya Persekutuan, berhampiran Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur. Boleh dikatakan, ramai pihak yang mempersoalkan, apa relevannya wang sebanyak itu dibelanjakan hanya untuk memperindahkan pintu gerbang.
Hari demi hari, bulan berganti bulan, setelah persiapan awal dilakukan oleh kontraktor yang dilantik oleh Azmin sendiri, secara tiba-tiba pembangunan pintu gerbang berkenaan tergendala. Apa yang dapat disaksikan di tapak projek berkenaan, hanyalah jaring keselamatan dan cerucuk besi yang terbiar sejak lebih 5 bulan lalu.
Apa sudah jadi dengan peruntukan lebih RM 10 juta yang Azmin belanjakan untuk pintu gerbang ini? Persoalan ini sedikit demi sedikit ditenggelami oleh tumpuan berlebihan yang diberikan kepada Mahathir dan pentaksubnya sehinggakan pembinaan terbengkalai ini terus dibiarkan berlalu begitu sahaja.
Sewajarnya, tumpuan patut diberikan kepada apa yang telah berlaku pada wang yang dibelanjakan untuk membaik pulih pintu gerbang Darul Ehsan, kubah Masjid Shah Alam yang menelan belanja lebih RM 20 juta, isu DEIG dan isu tanah Wetland yang sememangnya membelenggu kerajaan negeri Selangor sehingga hari ini.
Bukan bermakna apa yang cuba dicetuskan oleh Mahathir dan kuncu-kuncunya tidak penting. Tumpuan harus diberikan secara adil untuk membongkarkan segala kemaruk nafsu politik dan penyelewengan yang dilakukan oleh mereka ini, mendapat layanan yang sama.
0 comments:
Post a Comment