Tindakan pelakon Hollywood, Angelina Jolie memfailkan perceraian membuatkan suaminya, Brad Pitt marah kerana bimbang akan menyebabkan anak-anak mereka terumbang-ambing. Sumber terdekat Pitt, 52, memberitahu laman web hiburan TMZ bahawa dia juga marah terhadap Jolie, 41, kerana mendakwa wanita itu memutarbelitkan cerita.
Pitt didakwa memudaratkan anak-anak mereka kerana bersikap panas baran dan terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Aktor itu dilaporkan berkata, tindakan Jolie menyebabkan seluruh ahli keluarganya menjadi tumpuan jurugambar paparazi. Pasangan Hollywood itu popular dengan gelaran Brangelina.
Sejak beberapa hari lalu, Pitt dikatakan berbincang dengan Jolie supaya menangani perceraian mereka seperti 'orang dewasa' tanpa publisiti demi kebaikan anak-anak, lapor portal hiburan tersebut. Namun, aktor tersebut marah kerana Jolie menggambarkannya sebagai bapa yang tidak bertanggungjawab.
Aktres itu juga menuntut hak penjagaan tunggal terhadap enam anak mereka. Susulan berita perceraian mereka semalam, rumah pasangan Bragelina itu dipenuhi petugas media dan jurugambar sehingga memaksa Jabatan Polis Los Angeles melakukan rondaan berkala.
Jolie dikatakan memfailkan perceraian kerana sudah tidak sefahaman lagi dengan suaminya. Bintang filem Tomb Raider itu juga mendakwa sikap Pitt berbahaya kepada anak-anak mereka.
Pasangan itu dikurniakan tiga anak sendiri iaitu Shiloh (10) dan pasangan kembar Knox serta Vivienne (8). Mereka juga memelihara tiga anak angkat yang terdiri daripada Maddox (15), Pax (12) dan Zahara (11). Pasangan itu hidup bersama sejak 12 tahun lalu dan mendirikan rumah tangga dua tahun lepas di Chateau Miraval, Perancis.
0 comments:
Post a Comment