PENDAKIAN berstatus hors, Genting Highland tidak akan disenaraikan buat kali ketiga berturut-turut dalam laluan kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 yang dijadualkan membuka tirainya pada 22 Februari hingga 1 Mac tahun depan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LTdL, Emir Abdul Jalal, kemungkinan besar zon pendakian tersebut bakal kembali tersenarai dalam peta LTdL 2018 selepas kerja menaik taraf jalan raya ke Genting Highlands siap sepenuhnya.
“Mereka masih ada projek baharu yang sedang dalam pembinaan. Lori-lori besar akan naik (ke Genting) dan ia boleh mengganggu aliran trafik di sana nanti. Mereka tak boleh nak tangguhkan kerja-kerja pembinaan itu.
“Malah, kita juga perlu menjaga keselamatan para pelumba. Satu lagi, keadaan di sana masih belum sempurna. Kita tak mahu mencemarkan keindahan Genting Highlands disebabkan landskapnya yang masih belum siap sepenuhnya.
“Jadi, laluan di sana masih belum sesuai. Bagaimanapun, mereka sebenarnya mengalu-alukan kedatangan LTdL kerana secara tak langsung dapat mempromosikan ‘produk-produk’ terbaharunya.
Berkemungkinan besar, pada edisi 2018 nanti, LTdL akan kembali ke Genting Highlands,” kata Emir ketika dihubungi semalam.
Sebagai rekod, LTdL 2017 yang bakal memasuki edisi ke-22 itu akan kembali ke Pulau Langkawi selepas kali terakhir pada 2014. Lebih menarik, pemilihan tarikh yang strategik mampu menarik lebih ramai pelumba berkelas dunia ekoran saingan perlumbaan yang merangkumi lapan peringkat perlumbaan itu turut mendapat pengiktirafan daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Dalam pada itu, Emir berkata, pihaknya kini dalam proses menetapkan laluan untuk perlumbaan tersebut dengan menyatakan terdapat beberapa negeri yang berminat untuk menyambut kedatangan LTdL 2017.
“Buat masa sekarang saya masih berbincang dengan pihak penaja sebelum mengesahkan laluan. Sekarang kita sudah ada banyak pilihan laluan sebab ramai yang berminat. Terengganu dan Johor antara negeri yang berminat,” katanya.
0 comments:
Post a Comment