Datuk Lee Chong Wei berjaya meraih kejuaraan Terbuka Jepun buat kali keenam semalam namun trofi yang dijulang kali ini bukannya mudah apabila Jan O Jorgensen memberikan tentangan sengit pada aksi final.
Chong Wei yang diletakkan sebagai pilihan utama diheret hingga ke set ketiga oleh jaguh Denmark itu sebelum menang 21-18, 15-21, 21-16 di Gimnasium Metropolitan Tokyo. “Dia (Jorgensen) memang beraksi dengan bagus apabila dia berjaya memenangi set kedua, namun bagi saya untuk meraih kejuaraan kali keenam sudah tentu saya akan cuba yang terbaik,” katanya ketika dihubungi semalam.
Jelasnya, selepas berjaya merampas semula kejuaraan Terbuka Jepun yang dimenangi jaguh China, Lin Dan tahun lalu, dia mengambil keputusan untuk tidak beraksi pada Terbuka Korea Selatan minggu ini.
“Saya sudah menarik diri dari Terbuka Korea Selatan, saya akan pulang ke Malaysia dan menyambung latihan seperti biasa,” katanya yang sebelum ini meraih kejuaraan Terbuka Jepun tiga kali berturut-turut dari 2012 hingga 2014.
Chong Wei juga sebelum ini pernah meraih kejuaraan sama pada 2007 dan 2010, namun tahun lalu dia tersekat di pusingan kedua apabila tumpas kepada Lin Dan 17-21, 10-21 dan dia juga terpaksa beraksi di pusingan kelayakan.
Ia kejohanan dan kejuaraan pertama Chong Wei sejak meraih pingat perak pada Sukan Olimpik Rio bulan lalu. Sementara itu, Jorgensen mengakui dia terperangkap dengan permainan Chong Wei dan menyanjungi bintang legenda itu yang dianggap seorang juara.
0 comments:
Post a Comment