Sekumpulan enam lelaki yang memancing dan mengambil gambar untuk sebuah majalah swasta terkandas di perairan sungai Hulu Katibas, Lapong Apok sejak Selasa lalu sebelum berjaya diselamatkan pasukan polis dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song, kelmarin.
Trip kumpulan itu tergendala selepas terkandas apatah lagi salah seorang daripada mereka tercedera dan terpaksa menunggu bantuan di kawasan berkenaan. Pasukan penyelamat berjaya menyelamat dan membawa pulang kesemua mangsa biarpun terpaksa mengharungi perjalanan menaiki perahu panjang selama 11 jam sebelum sampai ke lokasi mangsa.
Dalam kejadian itu, pasukan BBP Song terdiri daripada empat anggota diketuai PBK II Justin Basik bersama dua anggota polis memulakan operasi pada jam 2.21 petang Selasa lalu selepas menerima panggilan kecemasan mangsa menggunakan telefon satelit. Pasukan penyelamat terpaksa bermalam terlebih dahulu setibanya mereka di Rumah Sa Nanga Me Sau, Hulu Katibas pada jam 6.40 petang.
Perjalanan diteruskan keesokannya pada jam 7 pagi dan turut disertai empat penduduk rumah panjang yang pakar selok-belok laluan sungai. Mereka tiba di lokasi pada jam 11.25 pagi dan mendapati enam mangsa dilaporkan terkandas berada dalam keadaan selamat di tepi sungai.
Salah seorang daripada mangsa dikenali sebagai Wesley Luke, 32, didapati terkehel bahu kiri. Pasukan penyelamat bertindak memberi rawatan dari segi fizikal dan mental kepada mangsa terbabit sebelum meneruskan perjalanan pulang.
Mereka sekali lagi bermalam di Rumah Sa Nanga Me Sau dan menyambung perjalanan balik keesokannya. Pasukan penyelamat tiba di Pekan Song pada jam 4 petang semalam dan mangsa diserah kepada klinik kesihatan untuk menerima rawatan selanjutnya.
0 comments:
Post a Comment