My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday, 24 September 2016

    Siapa Sangka Tempat Sampah Jadi Resort


    Tenang dan mendamaikan. Itu ungkapan paling sesuai untuk menggambarkan persekitaran resort ala desa 70-an yang sarat dengan landskap semula jadi ini. Melewati jalan di bahagian depan kelihatan sebuah bangunan rustik berasaskan kayu yang awalnya disangka gerai makan nyata mencuri perhatian. 

    Persekitarannya redup dengan pepohon segar menghijau membuatkan sesiapa saja yang singgah pasti teruja sebaik berada di perkarangan penerimaan tetamu Tanjung Inn, Cherating, Kuantan ini. Pada bahagian belakangnya bersambung dengan kafe. Jika bahagian depan separuh terbuka, diteduhi bumbung begitu juga kafe.

    Melangkah masuk, anda ‘disambut’ sepasang basikal tua yang sengaja diletak pada sisi tiang diiringi susunan tempayan sebagai unsur hiasan dan titik tumpu. Pada basikal di sebelah kiri, terdapat kerusi rotan sebagai tempat duduk kanak-kanak.

    Penataan ini mengimbau era 60-an dan 70-an, ketika basikal masih menjadi alat pengangkutan penting di jalan raya dan tempayan menjadi bekas simpanan utama. Ruang penerimaan tetamu itu juga dilengkapi kerusi rotan sebagai tempat duduk bersantai dan menunggu.

    Sebuah almari kayu berdinding kaca lut sinar berisi buku hiasan dalaman dan landskap turut disediakan. Menapak ke belakang tidak disangka, kawasan keseluruhan sebenarnya luas. Terdapat banyak bangunan penginapan. Dari situ terserlah keindahan landskapnya dan tiada siapa sangka bahawa kawasan itu asalnya tempat simpanan sampah satu ketika dulu.

    Menurut pemiliknya, Abdul Haiyum Abdul Hamid, 63, Tanjung Inn yang berusia lebih 24 tahun kini dalam proses pembinaan semula bangunan yang sudah usang. Terdapat beberapa bangunan baru daripada gabungan kayu dan batu-bata merah, membiaskan konsep kedesaan atau kotej.

    Tanjung Inn yang dulunya dikenali Villa de Fedella, bukan saja tempat persinggahan penduduk tempatan, bahkan menjadi lokasi tumpuan pelancong asing.

    Difahamkan, resort ini menjadi sebutan dalam beberapa majalah pengembaraan dan pelancongan termasuk The Lonely Planet (2013 edisi Mei), The Rough Guide, LE Routard (buku pengembaraan Perancis) dan Stephen Loose (buku pengembaraan Jerman) yang melaporkan Tanjung Inn dalam senarai teratas dicadangkan sebagai tempat penginapan di kawasan Cherating.

    Kini kompleks percutian itu dibahagikan kepada tiga kawasan meliputi lot pertama, Tanjung Inn seluas 1.28 hektar, dibangunkan daripada tapak pembuangan sampah Kampung Cherating kepada suasana berlandskap sebagaimana sekarang.

    “Proses bermula dengan mengorek dan membuang sampah-sarap sebanyak 30 lori seberat 10 tan sebelum dibina unit penginapan, diiringi landskap seperti yang ada sekarang. Pokok dipilih daripada jenis dapat menarik kedatangan burung tempatan. Hingga kini 42 spesies sudah dikenal pasti pakar pemerhati burung di sini,” katanya.

    Menurutnya, Tanjung Inn mempunyai 22 unit chalet. Projek menaik taraf membabitkan penggantian unit lama dengan yang baru. Selepas selesai, dijangka mempunyai 30 chalet semuanya. Lot kedua, berkeluasan dua hektar dibangunkan merentasi 300 meter kawasan pantai Cherating dinamakan Tanjung Beach dan mempunyai 12 chalet kayu berhawa dingin.

    Bersebelahan pantai Tanjung Inn ialah lot seluas 1.6 hektar diperindah dengan kolam buatan. Di sekelilingnya ada 21 khemah penginapan dengan dek di dalam kolam. Khemah dilengkapi pelantar buluh, lengkap dengan kemudahan kipas angin, lampu dan plug.

    “Tempat tidur di sini menyediakan tilam bertaraf lima bintang dan jaring nyamuk. Khemah daripada jenis ‘glamping’ atau ‘glamour camping’ antara pertama digunakan,” katanya. Suasana persekitaran yang menonjolkan kelestarian alam dengan kedudukan tersembunyi, sunyi dan nyaman menjadi tarikan kepada pelancong yang gemarkan suasana alam secara semula jadi.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Siapa Sangka Tempat Sampah Jadi Resort Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top