Majlis previu filem Volkswagen Kuning terbitan MIG Pictures pada malam Selasa lalu dihadiri ramai wartawan terutama media daripada akhbar utama. Situasinya jauh berbeza sebelum ini, ketika majlis sama untuk satu lagi filem terbitan MIG, Zack Kapcai pada 12 Julai lalu. Pada malam itu tiada wakil daripada akbar utama yang hadir, hanya beberapa penulis blog.
Rupa-rupanya mereka mengejar pelakon Singapura, Atikah Suhaime, 25, yang hadir kerana menjadi watak utama filem itu. Atikah kini dikaitkan dengan kontroversi penyebaran foto intim bersama seorang pelakon lelaki dikatakan Idris Khan menerusi forum dalam talian pada 11 September, sehari sebelum Aidiladha.
Ketika dihubungi untuk mendapatkan komennya sebelum ini, kedua-dua pelakon itu enggan mengulas lanjut. Tentunya kehadiran Atikah pada majlis itu tidak dilepaskan oleh wartawan untuk mendapatkan kenyataannya. Ternyata Atikah tidak lari malah dikatakan tenang sepanjang diajukan soalan bertubi-tubi berhubung gambar yang tersebar itu.
Ini juga bukan kontroversi pertama dilalui pelakon itu kerana tahun lalu pernah berdepan dengan kontroversi video seks dengan dua pelakon lelaki, Idris Khan dan Ammar Alfian tetapi mereka menafikannya. Kali ini penyebaran gambar-gambar pula tetapi hanya membabitkan mereka berdua.
Walau diasak wartawan pada malam itu, Atikah sambil tersenyum manis menafikan orang dalam gambar itu adalah dirinya. Namun kenyataan Atikah melucukan kerana mengaku belum melihat gambar itu tetapi cukup yakin itu bukan dirinya. Idris Khan, 28, yang popular melalui drama Duda Terlajak Laris pula tidak menafikan atau mengiyakan lelaki dalam gambar itu adalah dirinya, sebaliknya memilih untuk mengunci mulut dan enggan memberi sebarang komen.
Katanya, perkara itu masih dalam siasatan dan dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan jika memberi sebarang kenyataan. Sehingga kini, Idris terus memilih pendekatan itu. Bagaimanapun, drama membabitkan dua pelakon muda ini makin menarik apabila Ammar Alfian, 28, tampil membuat pengakuan kesal dituduh sebagai dalang menyebarkan gambar itu.
Ammar dalam Harian Metro Jumaat lalu mengakui Idris menghantar dua pesanan melalui aplikasi WhatsApp minggu lalu, menuduh dia yang menyebarkan gambar bogel itu hingga menjejaskan kariernya yang baru hendak bertapak. Pengakuan terbaru Ammar bagaikan kata kunci mengenai kontroversi gambar bogel Atikah-Idris.
Jika lelaki dalam gambar itu bukan Idris, mengapa harus gelabah hingga mencari dalang kepada masalah yang berlaku. Ammar kini dikatakan menetap di Melbourne, Australia dan sibuk dengan perniagaan di sana tetapi pulang ke Malaysia untuk menyambut Aidiladha bersama keluarga.
0 comments:
Post a Comment