Seorang atlet bina badan wanita negara dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam atas pertuduhan mencuri barang di Pasaraya Giant, Kolombong, minggu lalu. Bagaimanapun tertuduh, Heng Shu Xta, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dan mohon dibicarakan di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie.
Berdasarkan pertuduhan, Heng didakwa mengambil 22 jenis barang dan menyimpannya di dalam dua kotak mineral pada jam 12.30 tengah hari, 14 September lalu. Antara barangan itu ialah ikan tenggiri, telur, beras, kuali, sarung kaki dan kentang bernilai RM789.73.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan boleh dikenakan denda. Stephanie kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin tempatan dan kes disebut semula pada 12 Oktober depan.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Azaman Hamat manakala tertuduh diwakili peguam, Goldem Hamid. Sementara itu, dalam perbicaraan berasingan, seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara selama tujuh hari dari tarikh ditahan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghina penjawat awam, minggu lalu.
Tertuduh, Saberi Laip, 26, didakwa mengeluarkan perkataan menghina iaitu ‘mentang-mentanglah saya tidak bagi kamu duit, kamu samanlah saya. Kamu makanlah itu punya saman. Sial punya polis’ terhadap dua anggota polis yang menahannya selepas melakukan kesalahan lalu lintas di Jalan KKIP Selatan pada jam 7.41 malam, 14 September lalu.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam kelihatan sebak ketika merayu kepada mahkamah bagi meringankan hukuman ke atasnya selain berjanji tidak mengulangi perbuatan itu.
0 comments:
Post a Comment