Kelicikan dua pengusaha perniagaan sejuk beku di kawasan perindustrian Lok Kawi, Penampang, membawa padah apabila mereka bakal berdepan hukuman denda mencecah RM1 juta selepas didapati melakukan pengubahsuaian meter elektrik, semalam.
Dalam operasi bersepadu yang dijalankan Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) jam 12 tengah hari itu mendapati, kedua-dua premis berkenaan melakukan pengubahsuaian kotak meter dipercayai untuk mengganggu kiraan penggunaan elektrik.
Hasil pemeriksaan, setiap meter tiga fasa itu diubah suai dengan memutuskan salah satu sambungan ke meter digital milik SESB. Difahamkan, ini adalah operasi bersepadu pertama yang dijalankan tahun ini bagi memantau kegiatan kecurian arus elektrik di negeri ini.
Pengurus Besar Komunikasi Korporat SESB Chendramata Sinteh berkata, pihaknya masih belum dapat memastikan tempoh masa dan jumlah kerugian yang dialami berikutan kegiatan itu namun SESB akan melakukan siasatan menyeluruh sebelum tindakan undang-undang dapat diambil.
“Perbuatan mengusik atau mengubah suai meter elektrik adalah satu kesalahan mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990 pindaan 2016 dan jika sabit kesalahan pesalah boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagaimanapun, untuk kesalahan komersial, peniaga boleh dikenakan tindakan denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, perbuatan mencuri arus bekalan elektrik bukan saja boleh mengakibatkan gangguan di kawasan sekitar tetapi juga boleh menyebabkan renjatan kepada pelaku ataupun kebakaran. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan ini juga dialu-alukan supaya menyalurkan maklumat kepada SESB untuk tindakan segera,” katanya.
0 comments:
Post a Comment