Tindakan pantas anggota Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Kuching berjaya menumpaskan kegiatan dua lelaki bersenjatakan pedang samurai dan kayu yang melakukan empat rompakan di tiga daerah dalam masa dua hari.
Ketua CID Sarawak Datuk Dev Kumar berkata kedua-dua lelaki masing-masing berumur 26 dan 24 tahun itu serta seorang wanita 19 tahun yang berada bersama mereka semasa rompakan dilakukan, ditahan di bilik sebuah inap desa di Kota Sentosa dekat sini.
Menurut Dev, pada 3 pagi 4 September, dua suspek lelaki yang memakai topi keledar bertutup penuh memasuki kedai sebaneka 24 jam di Kota Sentosa, seorang daripada mereka menghunus pedang samurai manakala seorang lagi bersenjatakan kayu, memaksa pembantu kedai menyerahkan RM600 daripada peti simpanan wang sebelum melarikan diri dengan sebuah Proton Saga.
Beliau berkata pada 4 pagi 5 September, kedua-dua suspek lelaki yang sama merompak kedai serbaneka 24 jam di MTLD, Kota Samarahan dan memaksa pembantu kedai menyerahkan RM835 dan beberapa karton rokok sebelum sejam kemudian mereka merompak sebuah lagi kedai serbaneka di Stutong, Kuching, dan memaksa seorang pekerja warga asing menyerahkan wang tunai serta rokok bernilai RM1,500.
"Pada hari yang sama kira-kira 12.30 tengah hari, suspek yang menaiki Proton Saga melanggar seorang penunggang motosikal di Lebuhraya Kuching-Samarahan mengakibatkan penunggang motosikal yang berusia 18 tahun itu terjatuh dan cedera di lututnya.
"Seorang daripada suspek keluar dari kenderaan itu sambil menghunuskan pedang samurai dan memaksa mangsa menyerahkan telefon bimbit, dokumen pengenalan diri dan wang RM16," kata Dev.
Dev berkata pada hari 8.30 malam hari sama, sebuah pasukan daripada CID Kuching diketuai ASP Ooi Jin Bing melakukan serbuan ke bilik di sebuah inap desa di Batu 7, Padawan dan menahan tiga suspek.
Suspek kemudian membawa polis ke tempat Proton Saga yang digunakan ketika melakukan rompakan itu, yang diletak di hadapan sebuah lot kedai tidak jauh dari inap desa berkenaan dan siasatan mendapati kenderaan itu dilaporkan dicuri pada 5 September di Stutong, Kuching.
Polis turut merampas daripada suspek sebilah pedang samurai, sebatang kayu, dua topi keledar, dua pasang sarung tangan, rokok, pemetik api, telefon bimbit dan wang tunai Ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif syabu, kata Dev.
"Suspek wanita berada di dalam kereta semasa keempat-empat rompakan itu dilakukan dan ketiga-tiga suspek itu tidak bekerja. Permohonan untuk menahan reman akan dibuat di Mahkamah Kuching tengah hari ini," kata Dev.
0 comments:
Post a Comment