My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 11 January 2018

    Kesilapan Mudah Bawa Padah



    Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) Malaysia, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan anak-anak buahnya mampu menyaingi persembahan Iraq jika mereka kekal fokus sepanjang 90 minit perlawanan.

    Semalam, Iraq yang merupakan juara edisi pertama Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23, menepati ramalan sebagai pasukan pilihan apabila mudah menewaskan skuad muda negara 1-4 pada aksi pertama Kumpulan C di Stadium Changshu.

    Namun, apa membuatkan Kim Swee terkilan adalah kesilapan mudah dilakukan oleh anak-anak buahnya sejurus hantaran lemah yang dilakukan oleh Muhammad Syazwan Andik Mohd. Ishak dan Nor Azam Azih berjaya dimanfaatkan pasukan lawan untuk menjaringkan dua gol pada minit ke-28 dan ke-81.

    Mengulas lanjut, Kim Swee percaya keputusan itu akan menjadi sebaliknya jika skuad negara kekal fokus dan bermain penuh keyakinan tanpa perlu ada rasa hormat kepada Iraq.

    Sebagai rekod, empat gol Iraq dijaringkan oleh Mohammed Khalid Jaffal Al-Jumaili (m-5) Amjed Attwan Kadhim (m-28) Alaa Ali Mhawi (m-57) dan Hussein Al-Saedi (m-81), manakala jaringan tunggal negara hadir menerusi Safawi Rasid pada minit ke-79.

    “Bukan perkara mudah menentang Iraq tetapi sudah tentu tujuan kita datang ke sini untuk melangkah lebih jauh, namun mereka adalah pasukan cukup kuat dan matang.

    “Mereka juga memiliki pemain-pemain individu yang menunjukkan tahap keupayaan cukup tinggi. Kita perlu teliti semula ter­utamanya dari segi persembahan dan kesilapan yang saya percaya jika kita boleh elakkan dan fokus lebih awal, sudah tentu kita boleh menyaingi mereka.

    “Kurangkan kesilapan-kesilapan mudah dan mula fokus seawal minit pertama sehingga akhir permainan tanpa dibolosi, saya percaya ia akan memberikan keyakinan lebih tinggi kepada pemain,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas tamat perlawanan di Stadium Changshu semalam.

    Dalam perkembangan sama, Kim Swee tidak berminat untuk memberikan komen tentang gol Muhammad Akhyar Abdul Rashid yang tidak disahkan pe­ngadil dari Uzbekistan, Valentin Kovalenko pada minit ke-87. Sebaliknya, pengendali kelahiran Melaka itu mahu anak-anak buahnya bangkit daripada kekalahan itu apabila bertemu Jordan di venue sama Sabtu ini.

    “Saya kena tengok balik gol itu melepasi garisan atau tidak tetapi yang lebih mustahak adalah mutu persembahan sepanjang 90 minit. Itu yang lebih penting. Kita perlu pelajari pengalaman ini untuk perbaiki kelemahan pada masa depan. Ini perlawanan pertama dan saya percaya aksi kedua (bertemu Jordan) dan ketiga (menentang Arab Saudi), mereka akan bertambah baik,” ujarnya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kesilapan Mudah Bawa Padah Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top