My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 3 January 2018

    Ringgit Bakal Cecah Paras 4.0


    Ringgit diunjur berlegar-legar sekitar paras 4.0 hingga 4.1 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi tahun 2018 dan berpotensi mencecah pada 3.98. 

    Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid (gambar kecil) berkata, meskipun ketidakpastian pasaran masih menular, petunjuk analisis teknikal turut menunjukkan bahawa ringgit berpotensi untuk mengukuh menuruni paras 4.0, seterusnya mewujudkan pandangan positif terhadap nilai mata wang tempatan itu.

    “Sasaran itu dipacu oleh pelbagai faktor, antaranya jangkaan peningkatan Kadar Dasar Semalaman, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kekal melebihi lima peratus serta peningkatan keuntungan bagi syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

    “Selain itu, Pilihan Raya Umum ke-14 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi juga dilihat akan merancakkan sentimen pasaran kewangan negara,” katanya kepada ketika dihubungi di sini semalam.
    Pada pukul 9 pagi semalam, ringgit meneruskan trajektori mengukuh memasuki tahun baharu apabila ia mencatatkan kadar 4.0370/0400 berbanding dolar AS, daripada 4.0440/0500 pada sesi penutupan Jumaat lepas.

    Menurut Mohd. Afzanizam, trend mata wang tempatan yang semakin menaik dalam tempoh kebelakangan ini didorong oleh aliran masuk dana pelabur asing ke dalam pasaran ekuiti dan bon tempatan, sekali gus mewujudkan permintaan terhadap mata wang ringgit berbanding dolar AS. 

    Tambahnya, situasi itu disokong oleh prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dijangka baik pada tahun 2018. “Ia seterusnya akan menterjemahkan peningkatan dalam keuntungan syarikat-syarikat yang tersenarai, terutamanya bagi sektor perbankan, pembinaan, utiliti dan industri berkaitan eksport.

    “Tarikan seperti inilah yang akan mendorong pengukuhan nilai mata wang ringgit,” jelasnya.

    Dalam pada itu, ditanya mengenai trend dolar AS yang terus mengalami penurunan permintaan dan kerugian sebanyak 9.8 peratus pada 2017, Mohd. Afzanizam berkata, ia banyak didorong oleh jangkaan terhadap kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS pada tahun 2018 yang dilihat akan berlaku secara beransur-ansur.

    “Selain itu, dengan dasar-dasar ekonomi Presiden Donald Trump yang menemui jalan buntu dan tidak seperti yang diuar-uarkan ketika beliau menang dalam pilihan raya Pre­siden pada November 2016, ia sedikit sebanyak telah menjejaskan keyakinan para peserta pasaran,” ujarnya.

    Pada pukul 5 petang semalam, ringgit terus mengukuh dan ditutup lebih tinggi pada paras 4.0180/0210 berbanding dolar AS.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Ringgit Bakal Cecah Paras 4.0 Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top