My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 15 September 2016

    Ancaman Jaguh Di Sebalik Skrin Komputer






    KEMAJUAN pada zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) membuka lembaran baharu dalam kehidupan individu kerana ia dapat menghubungkan masyarakat di seluruh dunia tanpa sempadan. Kewujudan saluran media baharu pada zaman ini telah mengubah corak berkomunikasi dalam masyarakat kerana mereka menjadikan laman sosial sebagai medium perhubungan utama. 

    Situasi ini membuka satu dimensi baharu, sekali gus melahirkan golongan yang dinamakan sebagai keyboard warrior atau lebih dikenali sebagai pahlawan atau jaguh papan kekunci. Keyboard warrior ditafsirkan sebagai individu yang cuba menjadi pakar dengan menyampaikan sesuatu pandangan yang dirasakan sahih, bukan dalam bidang kepakaran dan hanya berani berhujah di sebalik skrin komputer.

    Kehadiran kumpulan ini dirasai oleh seluruh pengguna laman sosial apabila sesuatu isu itu berlaku. Dengan erti kata lain, golongan ini adalah individu yang suka meluahkan kemarahan dan emosi terhadap sesuatu isu dengan cara tidak langsung serta di luar bidang kepakaran mereka. Ini kerana, mereka tidak mampu untuk meluahkan secara langsung.

    Perlakuan ini berlaku secara meluas apabila kumpulan individu tersebut cuba mempertahankan pendapatnya walaupun tidak penting bagi orang lain. Perdebatan tentang sesuatu isu yang dimuat naik di laman sosial akhirnya menjadi satu topik pergaduhan antara keyboard warrior yang tidak bersependapat, sekali gus menghilangkan rasa hormat dan kesantunan berbahasa dalam kalangan masyarakat.

    Isu itu akan menjadi semakin besar apabila lebih ramai yang individu terlibat dalam perdebatan tersebut. Mereka dapat ditafsirkan sebagai ‘baling batu sembunyi tangan’ apabila hilang rasa tanggungjawab dalam mengeluarkan pendapat mereka.

    Kebebasan

    Perkembangan ideologi golongan ini adalah disebabkan oleh perasaan yang mempunyai kebebasan mutlak untuk beraksi di internet. Media sosial ini seolah-olah mendorong mereka melontarkan apa sahaja bentuk pandangan yang dirasakan betul untuk menyokong pendapat peribadi masing-masing. 

    Setiap pandangan yang cuba disampaikan terhadap sesuatu isu mungkin ada yang dilihat berguna dan negatif. Hal ini juga kemungkinan berlaku akibat daripada pemilihan kandungan paparan di media sosial adalah ditentukan oleh seseorang individu itu sendiri.

    Dalam keadaan ini, sesiapa sahaja boleh melemparkan pandangan kepada orang lain walaupun di luar bidang kepakaran mereka dan hanya mewujudkan perbalahan laman web atau blog. Jika dibandingkan dengan media massa konvensional, komunikasi dalam internet seperti melalui media sosial adalah tidak dikawal oleh sesiapa kecuali pengendalinya sahaja.

    Malah, tidak ada sesiapa yang bertindak sebagai pemantau yang terdiri daripada para editor profesional yang perlu dirujuk bagi mendapat kelulusan terlebih dahulu sebelum sesuatu bahan dimuat naik ke laman sosial. Masyarakat di negara ini tidak harus beranggapan bahawa kebebasan menyebarkan maklumat melalui internet akan menyebabkan mereka mempunyai kebebasan mutlak sehingga bebas bersuara.

    Ini kerana, ia akan melahirkan individu bersifat keyboard warrior yang suka menimbulkan spekulasi terhadap sesuatu isu yang sensitif dan menimbulkan perasaan kebencian dalam kalangan masyarakat. Tindakan mereka ini secara tidak langsung boleh menimbulkan kesan negatif yang serius dalam masyarakat.

    Menurut kajian yang dilakukan, kadar penembusan rangkaian media sosial di Malaysia adalah amat tinggi iaitu sebanyak 91 peratus dengan satu daripada setiap tiga minit digunakan dalam talian adalah untuk melayari rangkaian media sosial. Dianggarkan, seramai 11.8 juta rakyat di negara ini mempunyai akaun Facebook dengan lebih 80 peratus melayari internet untuk mengakses Facebook. 

    Ini akan menyebabkan sesuatu spekulasi liar yang tidak berasas itu begitu mudah tersebar sekiranya penggunaan laman sosial seperti Facebook dan blog disalahgunakan. Hal ini bertambah buruk apabila pengguna media sosial bertindak terburu-buru untuk menekan butang share tanpa berfikir panjang, sekali gus menyebabkan maklumat itu tersebar dengan meluas.

    Oleh kerana lambakan maklumat yang cuba disampaikan, ia bukan sahaja boleh memberi kesan kepada masyarakat tetapi menyukarkan beberapa pihak lain seperti kerajaan serta pihak berwajib untuk menyalurkan maklumat yang sebenar.

    Walaupun media baharu memberi kebebasan kepada masyarakat untuk menyuarakan apa-apa pandangan mengikut pendapat peribadi, ia harus dikawal supaya pada akhirnya tidak menimbulkan maklumat yang berbentuk spekulasi.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Ancaman Jaguh Di Sebalik Skrin Komputer Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top