My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 5 September 2016

    Ibadah Haji, Dahulu Dan Kini



    Ibadah haji merupakan rukun Islam ke lima dan wajib dilakukan bagi mereka yang berkemampuan. Bagi seluruh umat Islam di seluruh dunia, menunaikan ibadat Haji di tanah haram Mekah merupakan satu idaman yang tidak dapat ditukar ganti. Namun begitu, atas faktor keselamatan dan tempat, kehadiran mereka dihadkan kepada sekitar 2 juta orang sahaja pada sesuatu musim.

    Sejak dahulu lagi, perjalananan menunaikan fardu haji dari seluruh dunia mencatatkan pelbagai cerita menarik untuk dikongsikan. Masing-masing mempunyai kisah dan sejarah tersendiri mengikut zaman dan ada diantaranya masih diperkatakan sehingga hari ini.

    Secara amnya, perjalanan menunaikan haji dahulu kebiasaannya dengan cara berkelana secara berkumpulan. Laluan yang ditempuh oleh jemaah haji zaman dahulu kala bukan calang-calang. Mereka terpaksa menempuh perjalanan sukar dengan menempuh laluan berbukit, sungai, hutan belantara, kesejukan di Laluan Sutera dan berpanas di laluan padang pasir.

    Kebiasaannya, perjalanan secara berkelana ini akan menggunakan kereta kuda, keldai dan ada diantaranya menggunakan lembu yang akan mengambil masa bertahun-tahun lamanya. Namun begitu, rombongan jemaah haji ini sentiasa menjadi sasaran lanun darat yang kebanyakannya beroperasi di sekitar Laluan Sutera mahupun sekitar kawasan Hindu Kus.

    Jika sudah menempuh perjalanan yang cukup lama untuk menunaikan haji, tidak hairanlah apabila para jemaah haji dari Nusantara ini mengambil keputusan untuk tinggal lebih lama di Kota Mekah bagi mendalami ilmu agama. Ada yang memilih untuk pulang setelah beberapa tahun tinggal disana dan ada diantaranya memilih untuk menetap terus di Mekah.

    Tahun berganti tahun, zaman berganti zaman, perjalanan ke Tanah Haram Mekah juga mengalami evolusinya yang tersendiri. Dengan pengenalan pengangkutan air, para jemaah haji menempuh perjalanan yang lebih singkat, iaitu kira-kira 15 hingga 17 hari. Pada ketika ini, lebih ramai jemaah haji dapat diangkut dengan menggunakan laluan air.

    Namun begitu, ianya bukan menjanjikan laluan ke Mekah akan selamat. Antara risiko yang bakal ditempuhi oleh mereka adalah keadaan lautan yang bergelora terutamanya apabila memasuki perairan Lautan Hindi yang dikenali sebagai lautan yang paling tidak dapat diduga di dunia.

    Kebiasaannya, tiada perkhidmatan penyediaan makanan disediakan. Kebiasaannya, para jemaah akan membawa bekalan makanan mereka sendiri dan akan memasak makanan berkenaan secara gotong royong. Malah, para jemaah akan digalakkan untuk menyertai riadah mereka sendiri bagi menjaga kesihatan mereka sepanjang perlayaran.

    Kita selalu diberitahu dengan cara pengebumian jemaah haji yang meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Mekah. Bagi jemaah yang menemui ajal dalam perjalanan, mereka dikafankan di atas kapal, di solatkan sebelum jenazah di ikat batu dan dibawa turun secara perlahan-lahan ke dasar laut dan ditenggelamkan.

    Walaupun perjalanan membawa para jemaah haji ini hanya memakan masa 15 hingga 17 hari, namun para jemaah kebiasaannya akan meluangkan masa mereka selama 3 bulan di Tanah Suci. Ini kerana faktor penyediaan kapal serta makanan untuk perjalanan pulang untuk semua 1,500 orang jemaah haji bagi sebuah kapal.

    Berikut merupakan beberapa catatan yang ditemui bagi menggambarkan perjalanan haji bagi jemaah haji dari Tanah Melayu.

    1. Catatan Tom Pires

    Dalam satu catatan yang dilakukan oleh Tom Pires, beliau menceritakan bagaimana dua orang Sultan Melaka pernah berhajat untuk menunaikan Haji. Mereka adalah Sultan Mansur Shah (1456 - 1477) dan Sultan Alauddin Riayat Shah (1477 - 1488) yang berhasrat mahu menggunakan laluan laut. Namun begitu, hasrat mereka tidak kesampaian kerana mangkat sebelum tiba waktu berangkat.

    Menerusi catatan ini, kita dapat menjangkakan bahawa golongan elit bangsawan Tanah Melayu dahulu kala adalah golongan pertama yang menggunakan kapal layar untuk mengerjakan Haji.

    2. Catatan Munshi Abdullah

    Dalam catatan Hikayat Pelayran Abdullah, Munsyi Abdullah menceritakan kembaranya menaiki kapal layar untuk menunaikan haji. Beliau menceritakan secara mendalam setiap perlabuhan yang beliau singgahi termasuk ancaman lanun dan lautan yang bergelora.

    3. Catatan Tok Kenali

    Siapa yang tidak mengenali tokoh agamawan dari Kelantan ini. Beliau memulakan perjalanan untuk mengerjakan haji dengan menempuh perjalanan darat merentasi Banjaran Titiwangsa. Seterusnya beliau mencatatkan pelayarannya ketika beliau berusia 18 tahun.

    Disebabkan faktor perjalanan yang mengambil masa yang cukup lama, Tok Kenali mengambil keputusan untuk menetap di Mekah untuk mendalami ilmu agama. Beliau akhirnya kembali semula ke tanahair pada usia 40 tahun dan mengasaskan pusat pengajian Islam di Kelantan.

    Hari ini, jemaah haji negara hanya mengambil masa kira-kira 8 jam sebelum tiba di Jeddah dengan menggunakan kapal terbang. Saban tahun, seramai lebih 22 ribu orang jemaah haji kita menunaikan ibadat haji. Kesemua mereka diuruskan satu agensi yang hari ini diiktiraf dunia sebagai agensi terbaik dunia. Agensi berkenaan adalah Lembaga Tabung Haji.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Ibadah Haji, Dahulu Dan Kini Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top