My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 1 September 2016

    Nostalgia Dibangkitkan Menerusi Pete’s Dragon



    Selepas hampir 40 tahun sejak pertama kali menjengah pawagam tahun 1977, filem realiti animasi muzikal berjudul Pete’s Dragon kembali diberi nadi baharu dengan penghasilan filem dengan judul yang sama. Jika pada edisi lama, si naga terpaksa ‘dikartunkan’, kali ini ia dijelmakan dalam bentuk nyata. 

    Tidak lari daripada skrip asal tulisan Malcolm Marmorstein, Pete’s Dragon edisi terbaharu bagaimanapun, bukan filem muzikal seperti edisi terdahulu. Anak yatim bernama Pete yang tinggal bersama seekor naga comel bernama Elliot langsung tidak menyanyi seperti dalam karya asal. 
    Perubahan tersebut barangkali bukan suatu masalah buat segelintir pengikut setia naskhah berkenaan.

    Dalam versi sebelum ini, Pete gemar bersenandung menerusi lagu-lagu runut bunyi filem asal seperti Candle on the Water yang berjaya menerima nominasi Academy Awards dalam kategori Lagu Original Terbaik pada tahun 1977. Mengambil latar masa lewat tahun 1970-an, Pete lakonan Oakes Fegley menjadi anak yatim piatu dalam sekelip mata disebabkan kemalangan mengejut.

    Sesat keseorangan di hutan belukar Milhaven, budak lelaki itu tinggal bersama seekor naga berbulu hijau dan bermata merah seperti api neraka bernama Elliot. Menariknya tentang Elliot, walaupun bersaiz besar, ia tidak pernah mendatangkan bahaya kepada orang ramai. Bukan seperti naga kebiasaan, Elliot mempunyai keupayaan untuk tidak mampu dilihat (menjadi halimunan). 

    Pengembaraan Pete dan sang naga bernama Elliot menjadikan naskhah ini sangat sesuai untuk tontonan kanak-kanak. Masalah mula timbul apabila Gavin (Karl Urban) bersama rakan-rakannya mula mengganggu ketenteraman kehidupan Pete dan Elliot dengan menebang pokok-pokok yang menjadi kediaman dua sahabat itu.

    Tindakan Gavin bagaimana tidak dipersetujui oleh abangnya, Jack (West Bently). Kewujudan naga di perkampungan Milhaven menjadi buah mulut ramai sehingga menyebabkan Pete dan Elliot terpisah. Mujur anggota perhutanan bernama Grace (Bryce Dallas Howard) dibantu anaknya, Natalie (Oona Laurence) melindungi Pete daripada kekacauan yang ditimbulkan Gavin.

    Sederhana

    Secara keseluruhan, filem arahan pengarah David Lowery itu merupakan sebuah percubaan yang memberangsangkan. Barangkali ia bukanlah kisah ‘dongeng’ yang popular seperti Maleficent atau Cinderella yang cukup sinonim dengan portfolio Disney sebagai pengedar filem membuatkan ia kurang menarik, berbanding filem-filem besar syarikat penerbitan filem ternama dunia tersebut. 

    Banyak babak yang dirasakan seperti longgar kerana hanya ingin mencantumkan hubungan antara Pete dan Elliot. Bukan itu sahaja, setiap minit banyak dilunaskan terhadap perbualan kosong dan reaksi wajah karakter terlibat, walhal penonton mengharapkan aksi atau fantasi yang belum pernah dipaparkan produk Disney sebelum ini.

    PETE’S DRAGON menampilkan debut Oakes Fegley memegang watak utama di layak perak sebagai Pete. Bagaimanapun, pujian harus dilemparkan kepada pelakon cilik, Fegley. Pete’s Dragon adalah debut aktor tersebut memegang watak utama di layar perak.

    Biarpun tidak banyak melontarkan dialog, Fegley berjaya menghidupkan watak seorang penghuni rimba yang berjiwa kental. Teknologi imej janaan komputer (CGI) yang digunakan dalam filem berkenaan juga tidak segah produk Disney lain seperti Alice In The Wonderland atau Pirates of the Caribbean.

    Masih relevan sebagai karya Disney yang sentiasa satu langkah di hadapan daripada syarikat penerbitan filem lain, Pete’s Dragon pastinya sesuai menjadi tontonan seisi keluarga terutama golongan kanak-kanak.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Nostalgia Dibangkitkan Menerusi Pete’s Dragon Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top