Bilangan kes Zika di Singapura meningkat kepada 82 orang kelmarin, manakala Amerika Syarikat (AS) menyertai senarai negara yang mengeluarkan amaran kepada wanita hamil supaya tidak berkunjung ke pulau itu. Virus Zika bawaan nyamuk Aedes mencetuskan letusan wabak di Benua Amerika dan rantau Caribbean sejak hujung 2015.
Virus Zika menyebabkan bayi yang dilahirkan mengalami kecacatan otak dan mempunyai kepala kecil. Sindrom itu dikenali sebagai mikrosefali. Kelmarin, AS mengeluarkan amaran kepada wanita mengandung supaya tidak melawat Singapura selepas Australia, Taiwan dan Korea Selatan berbuat demikian.
Amaran itu susulan laporan bahawa virus Zika merebak di luar lokasi jangkitan asalnya. Kementerian Kesihatan dan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura dalam satu kenyataan bersama turut mengesahkan sekurang-kurangnya 26 kes baharu Zika di kawasan Aljunied, tenggara pulau itu.

Wabak dan amaran Zika itu berlaku ketika industri pelancongan di Singapura yang merupakan antara hab perniagaan paling sibuk di dunia berdepan pertumbuhan ekonomi global yang lembab. Lebih 55 juta orang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura pada setiap tahun.
Kes pertama jangkitan tempatan Zika di Singapura dilaporkan pada hujung minggu lalu dan bilangan jangkitan terus meningkat. Sementara itu, Malaysia dan Indonesia meningkatkan langkah perlindungan dengan meletakkan alat pengimbas suhu badan di lapangan terbang dan pintu masuk lain. Virus Zika pertama kali ditemui di Hutan Zika, Uganda pada 1947.
0 comments:
Post a Comment