My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 2 November 2016

    Sesi Latihan Malaysia Berubah




    JURULATIH Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee berkata, skuad kendaliannya bakal menjalani sesi latihan pada pukul 3 petang sebagai usaha menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca panas yang akan diharungi dalam kempen Piala AFF Suzuki 2016 Myanmar bulan ini. 

    Demi memastikan persiapan skuad negara tidak terjejas dan berjalan lancar, Kim Swee turut mengesahkan bahawa perlawanan persahabatan bertemu Pa­pua New Guinea di Stadium Shah Alam pada 14 November ini akan berlangsung pada waktu sama seperti rutin sesi latihan mereka yang bakal bermula minggu depan.

    “Saya tidak menolak kemungkinan bahawa kami akan me­ngadakan sesi latihan seawal pukul 3 petang. Ini kerana kami mahu menyesuaikan diri dengan faktor cuaca di sana dan saya berpendapat pertemuan dengan Pa­pua New Guinea juga berlangsung pada waktu yang sama nanti.

    “Saya juga fikir persiapan ini sangat penting kerana saya tahu pemain-pemain kita akan berdepan cuaca yang agak panas ketika beraksi di Yangon (Myanmar) nanti. Jadi, hanya aksi terakhir (Kumpulan B) Piala AFF 2016 bertemu pasukan tuan rumah (Myanmar) sahaja akan berlangsung lewat iaitu kira-kira pukul 6 petang,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

    Dalam perkembangan lain, Kim Swee turut memuji persembahan cemerlang pemain Kedah, Mohd. Rizal Mohd. Ghazali serta penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Ahad lalu.

    Secara tidak langsung, pe­ngendali kelahiran Melaka itu menyifatkan persembahan po­si­tif daripada kedua-dua pemain ter­babit akan memberikan satu sun­tikan motivasi kepada skuad negara bermula bertemu Papua New Guinea sebelum berlepas ke Yangon pada 16 November ini.

    “Bagi saya, persembahan baik mereka adalah suatu petanda yang cukup baik. Hazwan telah menjaringkan gol dalam dua edisi final (Piala Malaysia) dan pasti ia bukan satu tugas yang mudah. 
    Begitu juga dengan Rizal yang telah menunjukkan keyakinan tinggi dan ia sudah pasti petanda positif kepada pasukan negara,” katanya.

    Sebagai rekod, Rizal bersama tiga pemain Kedah iaitu Badd­rol Bakhtiar, Syazwan Zainon dan Khairul Helmi Johari akan melaporkan diri bersama skuad kebangsaan setelah selesai menyertai majlis sambutan kemenangan Piala Malaysia bersama Helang Merah di Alor Setar petang semalam.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Sesi Latihan Malaysia Berubah Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top