Calon Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Demokrat, Hillary Clinton masih di hadapan apabila mendahului seterunya daripada Parti Republikan, Donald Trump dengan kelebihan mata lima peratus, demikian menurut keputusan tinjauan pendapat Reuters/Ipsos kelmarin.
Jumlah itu berkurangan sedikit sejak Biro Siasatan Persekutuan (FBI) melancarkan siasatan baharu terhadap Clinton berhubung skandal e-melnya. Menurut tinjauan pendapat selama lima hari yang berakhir pada Ahad lalu itu, kira-kira 44 peratus pengundi berkata, mereka akan tetap menyokong Clinton manakala 39 peratus lagi memilih Trump.
Beberapa tinjauan pendapat utama lain bagaimanapun mendapati kelebihan Clinton mengalami kemerosotan besar iaitu daripada 4.6 mata pada Jumaat lalu kepada 2.5 mata kelmarin.
Sebelum ini, Pengarah FBI, James Comey memberitahu Kongres bahawa pihaknya sedang meneliti sebilangan e-mel baharu yang mungkin berkait dengan Clinton. Beliau sebelum ini disiasat oleh FBI kerana menggunakan pelayan komputer peribadi dan kecuaiannya mengendalikan maklumat sulit ketika menjadi Setiausaha Negara AS.
FBI tidak mendedahkan butiran terperinci tentang siasatan terkini tersebut kecuali menyatakan bahawa sejumlah e-mel baharu itu dikesan ketika pihaknya menyiasat suami kepada pembantu kanan Clinton, Huma Abedin.
Pada Julai lalu, Comey merumuskan bahawa Clinton cuai mengendalikan maklumat sulit, tetapi tidak cukup bukti untuk mengemukakan dakwaan jenayah.
0 comments:
Post a Comment