Seorang tukang rumah berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan membunuh kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan pada Oktober lalu.
Tertuduh, Mohd Hafiz Mohamad, 29, dari Kampung Baloh, Manir, di sini mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum Abdul Hayyi menetapkan 4 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes. Tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh yang memakai baju lokap berwarna oren.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asyraf Minhad manakala tertuduh diwakili peguam, Mazlan Md Zain.
Akhbar sebelum ini melaporkan niat seorang lelaki membuka rahsia perkahwinan kekasih adiknya bagi mengelak adiknya dimadukan bertukar tragedi apabila mati ditikam di kawasan tempat letak kenderaan di Kompleks Seri Iman, di sini. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dengan enam kesan tikaman termasuk di leher dan dada kiri dipercayai menggunakan pisau oleh suspek.
0 comments:
Post a Comment