My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 5 July 2017

    Ekonomi Malaysia Mampu Tumbuh Sehingga 5 Peratus



    Ekonomi Malaysia mampu mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lima peratus atau lebih pada tahun ini berdasarkan prestasi yang dicapai pada separuh pertama 2017. 

    Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, keadaan ekonomi negara ketika ini berada pada landasan yang baik berikutan beberapa faktor termasuk kestabilan harga minyak.

    “Prestasi ekonomi negara adalah amat baik dan saya secara peribadi berasakan bahawa kita mampu mencapai pertumbuhan KDNK lima peratus atau lebih, didorong kekukuhan persekitaran ekonomi, peningkatan eksport, pelaburan serta kewujudan peluang pekerjaan.

    “Kita turut melihat peningkatan harga minyak pada paras AS$47 dan AS$50 setong dan saya berpendapat ringgit juga akan (mencatat prestasi) lebih baik,” katanya selepas melancarkan Program Pemacu Global Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), di sini, semalam.

    Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC Datuk Ashran Ghazi. Kenyataan Mohd Irwan itu bagi mengulas laporan media kewangan antarabangsa, Bloomberg bertajuk The Ringgit Is Easily Asia’s Strongest Currency yang menyenaraikan ringgit sebagai mata wang utama Asia paling kukuh bagi tempoh suku pertama tahun ini.

    Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 5.6 peratus pada suku pertama tahun ini, didorong permintaan domestik serta perbelanjaan swasta yang kukuh. Beliau juga menegaskan ekonomi negara tidak pernah berada dalam keadaan buruk dan kelembapan ekonomi yang berlaku itu disebabkan ketidaktentuan harga minyak serta sentimen pasaran global.

    Ditanya sama ada Malaysia akan menyemak semula unjuran KDNK, Mohd Irwan berkata, kerajaan turut mengadakan pertemuan dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Bank Negara Malaysia untuk melihat kewajaran langkah itu dalam Bajet 2018 yang dijadual dibentangkan pada 27 Oktober depan.

    Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi catatan terbaru di blog beliau berkata, Malaysia tetap berupaya mencapai banyak kejayaan yang boleh dibanggakan meskipun berdepan cabaran termasuk ketidaktentuan pasaran antarabangsa dan kejatuhan harga minyak.

    Perdana Menteri berkata, secara keseluruhan, prestasi ekonomi negara bagi suku pertama 2017 kekal stabil serta kukuh dan berkembang 5.6 peratus dengan pelaburan langsung asing (FDI) meningkat kepada RM17 bilion.

    Dalam perkembangan lain, Mohd Irwan berkata, 56 peserta dari 11 negara terpilih untuk menyertai GAP yang julung kali diadakan bagi membantu peserta menembusi pasaran ASEAN dan mampu menarik pelabur dalam tempoh empat bulan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Ekonomi Malaysia Mampu Tumbuh Sehingga 5 Peratus Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top