My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 8 January 2018

    Gabungan MCA - Gerakan Bukan Hanya Untuk PRU 14 Semata-Mata


    Satu ketika dahulu, hubungan antara MCA dan Gerakan boleh dikatakan agak dingin walaupun mereka menganggotai Barisan Nasional dan membentuk kerajaan. Hal ini bukan satu rahsia lagi dan menariknya, tidak ada seorang pun Presiden parti masing-masing berusaha untuk menjernihkan keadaan.

    Namun begitu, senario yang berlarutan sejak sekian lama ini akhirnya menemui titik nokhtah. Semua hasil inisiatif dari Datuk Seri Liow Tiong Lai selaku Presiden MCA dan Datuk Seri Mah Siew Keong yang merasakan perlu satu perubahan dalam hubungan antara dua buah parti berasaskan kaum Cina di negara ini.

    Di kalangan para penyokong Barisan Nasional, perdamaian yang wujud antara dua buah parti ini sememangnya cukup menggembirakan. Namun buat pemerhati politik, mereka memandang sinis usaha perdamaian yang cuba dijalinkan oleh MCA dan Gerakan dan kebanyakan mereka menganggap, perkara ini hanyalah sementara sahaja bagi menghadapi PRU ke 14 yang akan datang.

    Benarkah dakwaan ini? Sebenarnya, apa yang ditonjolkan semasa Perhimpunan Bersama MCA dan GERAKAN, di Wisma MCA, Kuala Lumpur, kelmarin bukanlah atas arahan dari Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Semua ini timbul hasil daripada kesedaran kedua-dua buah parti ini mengenai hala tuju dan survival parti ini di masa yang akan datang.

    Dahulu, terdapat beberapa perkara yang sentiasa menjadikan hubungan antara dua buah parti ini sedikit tegang. Walaupun ianya dianggap remeh namun pada Pilihan Raya Umum ke 13 yang lalu, segala perkara yang dianggap remeh ini akhirnya telah memakan diri dengan MCA dan Gerakan mengalami kekalahan yang boleh dianggap terburuk dalam sejarah penubuhan kedua-dua parti berkenaan.

    Lebih memburukkan keadaan, kaum Cina yang mereka perjuangkan selama ini telah mengalih sokongan mereka kepada parti pembangkang dan ini jelas sama sekali merugikan kedua-dua parti ini. Menambahkan kekalutan, bukan hanya kaum Cina sahaja yang mula menolak MCA dan Gerakan ini, malah kaum Melayu yang menyokong BN juga mula memandang sinis kewujudan MCA dan Gerakan ini di dalam BN.

    Menyedari akan hakikat ini, baik MCA mahupun Gerakan, mereka merasakan, perseteruan idealogi dan beberapa perkara ini bukan sahaja merugikan BN malah merugikan survivor kedua-dua parti ini. Menagmbil kira hala tuju dan masa hadapan, kedua-dua pemimpin ini mengambil insiatif memulihkan semula hubungan dan membentuk satu pasukan yang padu bagi memenangi semula hati para pengundi.

    Justeru, untuk mengatakan hubungan erat yang baru terjalin semula antara MCA dan Gerakan ini hanyalah retorik politik semata-mata, jelas ia satu pandangan yang tidak adil. MCA dan Gerakan sedar, mereka memperjuangkan nasib kaum Cina secara bersama dan sekiranya mereka kekal bertelagah, DAP yang selama ini menjadi gunting dalam lipatan, akan mengambil peluang.

    Di tambah pula, kedua-dua buah parti ini adalah antara parti komponen utama BN, pastinya mereka enggan lagi menerima keaiban seperti yang mereka tanggung pada Pilihan Raya Umum ke 13 yang lalu. Masa hadapan parti dan kaum Cina dan pengundi serta penyokong BN secara amnya jauh lebih utama dari meneruskan perseteruan yang tidak tahu bilakah akan menemui jalan penyelesaiannya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Gabungan MCA - Gerakan Bukan Hanya Untuk PRU 14 Semata-Mata Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top