Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan cara berpolitik yang begitu unik. Ini kerana, selain daripada menjaga kebajikan negara, kebajikan Islam dan kaum Melayu dan Bumiputera selalu dijadikan penanda aras sejauh mana sesebuah kerajaan itu mampu menjamin masa depan yang lebih cerah untuk semua pihak.
Harus diakui, secara amnya, Malaysia dihuni oleh kira-kira 68 peratus kaum Melayu dan Bumiputera yang majoritinya adalah yang beragama Islam. Justeru, mana-mana pihak yang ingin membentuk sesebuah kerajaan di negara ini harus berpaksikan kepada kebajikan Islam dan Melayu itu sendiri. Jika tidak, amat sukar buat mana-mana parti mampu memenangi hati rakyat terutamanya kaum Melayu dan Bumiputera.
Menariknya, di pihak Pakatan Harapan, dalam tempoh kurang daripada sebulan, mereka sudah mengadakan Konvensyen Pakatan Harapan dan Mesyuarat Agung PPBM yang kedua-duanya diadakan di IDCC Shah Alam. Apa yang menghairankan, di kedua-dua himpunan ini, langsung tidak disentuh tentang kebajikan Islam, Melayu dan kaum Bimiputera seandainya mereka berkuasa kelak.
Timbul persoalan, adakah mereka tidak berminat langsung untuk membela nasib Islam, Melayu dan Bumiputer di Malaysia ini? Sebagai contoh, Mesyuarat Agung PPBM hanya dipenuhi dengan agenda menumbangkan kerajaan dan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Malah, dalam kebanyakan ucapan kepimpinan parti, pelbagai fitnah dilemparkan dan langsung tidak menyentuh prihal Islam, Melayu dan Bumiputera.
Hal yang sama turut berlaku di dalam Konvensyen Pakatan Harapan. Cuma kali ini, mereka lebih kepada usaha mencari seorang calon Perdana Menteri sekiranya mereka berkuasa dan jumlah pembahagian kerusi Parlimen yang bakal mereka tandingi. Sekali lagi agenda Islam, Melayu dan Bumiputera dipinggirkan dari topik perbincangan majoriti pemimpin Pakatan Harapan.
Andai mengambil kira apa yang berlaku di dua himpunan ini, nampaknya, seandainya mereka berkuasa kelak, nasib Islam, Melayu dan Bumiputera bakal dipinggirkan. Tidak seperti UMNO dan BN yang sentiasa mendaulatkan Islam, Melayu dan Bumiputera pada peringkat tertinggi, bagi Pakatan Harapan, semua itu tidak penting dalam visi mereka memenangi Pilihan Raya Umum ke 14.
Bagi mereka, agenda menumbangkan kerajaan dan Datuk Seri Mohd Najib jauh lebih utama jika dibandingkan dengan agenda memperkasakan Islam, Melayu dan Bumiputera. Adakah kerajaan seperti ini yang diharapkan untuk membela nasib kaum Melayu dan Bumiputera disaat negara sedang menuju kearah sebuah negara maju, 2 tahun dari sekarang?
Hakikat yang harus diterima hari ini adalah, kaum Melayu harus bangkit menyemai perpaduan yang semakin terhakis akibat cara politik kotor yang diamalkan oleh pembangkang hari ini. Sejak berdekad-dekad yang lalu, hanya UMNO sahaja yang masih mengekalkan jati diri Melayu selain menjulang tinggi Islam.
Seandainya sebuah parti yang begitu memandang tinggi nilai Islam, Melayu dan Bumiputera ini disingkirkan, adakah kita boleh bergantung harap dengan pakatan pembangkang yang kesemuanya begitu kemaruk mengejar kuasa tanpa mempedulikan nasib Islam, Melayu dan Bumiputera itu sendiri? Tepuk dada, tanyalah selera...
* artikel ini diterbitkan pada 8 Januari 2018
0 comments:
Post a Comment