Bukan hanya kedai emas, malah van syarikat keselamatan yang sedang bergerak turut cuba dirompak penjenayah. Itu yang berlaku apabila dua perompak bersenjatakan tukul besi cuba merompak van syarikat keselamatan yang membawa RM100,000 di Bukit Puchong di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, dua suspek menaiki Perodua MyVi berpura-pura sengaja melanggar van keselamatan berkenaan. Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, pemandu van itu segera berhenti di tepi jalan untuk berbincang namun suspek seolah-olah tidak berpuas hati.
Berikutan itu, pemandu van keselamatan mengambil keputusan ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan kemalangan itu. “Bagaimanapun setibanya di lampu isyarat, kenderaan yang mengekori van itu bertindak berhenti sebelum dua suspek berusia 20-an menyerang van berkenaan.
“Suspek menggunakan tukul besi untuk memecahkan cermin van itu. Bagaimanapun mereka gagal menceroboh,” katanya. Muhammad Azlin berkata, pemandu van memecut ke balai polis Bukit Puchong di sini, bagi menyelamatkan diri.
“Suspek gagal menyamun van berkenaan dan melarikan diri. Polis giat mengesan semua suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment