My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 8 January 2018

    Iraq Lancar Serangan Psikologi



    Belum lagi sepak mula aksi pertama Kumpulan C Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bawah 23 tahun (B-23) Malaysia dan Iraq di Stadium Changshu, Rabu ini, perang psikologi sudah berlaku terhadap skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee. 

    Itulah yang didedahkan oleh penjaga gol No. 1 negara, Haziq Nadzli ketika menceritakan pengalamannya sepanjang berada di hotel penginapan, Merrylands Traders.

    Merylands Traders merupakan penginapan keempat-empat pasukan yang bermain dalam Kumpulan C iaitu Malaysia, Iraq, Jordan serta Arab Saudi dan ke­semua pemain terlibat akan bersama-sama makan petang dan malam.

    Haziq berkata, pemain-pemain pasukan Iraq kendalian Abdul Ghani Shahad dilihat sengaja bertindak biadap dan kasar seolah-olah cuba menakut-nakutkan skuad Malaysia sebagai serangan psikologi sebelum aksi pertama kedua-dua pasukan terbabit.

    Menurut penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, mereka dilihat cuba mengganggu fokus pe­nyerang negara, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew apabila mereka pergi berdepan dan sengaja merenung ‘tajam’ kepada bintang Selangor PKNS itu ketika berada dalam lif penginapan. 

    Haziq bagaimanapun berkata, penjaga gol Kedah, Ifwat Kamal Chek Kassim yang melihat insiden tersebut terus tampil ke arah pemain-pemain Iraq tersebut untuk mempertahankan rakan sepasukannya itu.

    “Iraq memang berbahaya dari segi fizikal dan mereka sudah mula melancarkan perang psikologi ketika kami makan (di hotel). Mereka sengaja memandang secara berdepan dalam jarak rapat terhadap Jafri ketika berada dalam lif dan perbuatan itu dilihat kurang ajar.

    “Semalam (kelmarin) mereka sengaja memandang Jafri untuk menakutkannya tetapi Ifwat membalas serangan psikologi mereka dengan melakukan perkara sama kepada pemain-pemain Iraq.

    “Cara mereka dilihat cuba mengganggu fokus kami tetapi saya percaya rakan-rakan sepasukan menghormati mereka tetapi tidak takut kepada mereka. Biarpun mereka pasukan pilihan, kami tetap akan berjuang nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Merrylands Traders semalam. 

    Dalam perkembangan sama, Haziq juga mahu melupakan insiden final Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila dia menjaringkan gol sendiri ketika skuad muda negara tewas 0-1 kepada Thailand di Stadium Shah Alam, Ogos lalu.

    Berbekalkan azam baharu bagi tahun 2018, pemain berusia 19 tahun itu kini bersedia membuka buku baharu dengan memberi fokus kepada Kejuaraan AFC B-23.

    “Saya akan lebih fokus dan bekerja keras dalam sesi latihan. Perlawanan (menentang Iraq) sudah semakin dekat, jadi bila perlawanan itu bermula nanti, kami mahu lebih bersedia. Saya sudah lupakan insiden final Sukan SEA dan saya ada azam tahun baharu,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Iraq Lancar Serangan Psikologi Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top