Seorang lelaki ditahan polis bersama sebilah parang di sebuah rumah di Kampung Bahru, Mak Mandin, Butterworth di sini kira-kira pukul 9 pagi tadi selepas didakwa melibas kepala seorang warga emas hingga parah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek berusia 53 tahun itu dikatakan tidak berpuas hati kerana mangsa didakwa mengambil jagung yang ditanamnya.
"Suspek dikatakan bertanya kepada mangsa dari mana dia mendapat jagung yang sedang direbus dan mangsa memberitahu dia telah memetiknya dari belakang rumah. Ekoran daripada itu, pertengkaran telah berlaku sebelum suspek yang berang telah mengambil sebilah parang dari dapur lalu melibas mangsa sehingga terkena pada kepala," katanya dalam satu kenyataan.
Noorzainy berkata, mangsa yang mengalami beberapa kecederaan pada kepala telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya bagi mendapatkan rawatan. "Akibat tetakan itu, mangsa cedera pada bahagian dahi sebelah kanan, tepi kepala sebelah kiri, bawah kelopak mata sebelah kanan dan pipi sebelah kanan," katanya.
Menurutnya lagi, siasatan mendapati mangsa dan suspek adalah adik-beradik angkat dan telah tinggal serumah sejak kecil lagi. "Bagaimanapun hubungan kedua-dua mereka bermasalah kerana suspek yang tidak bekerja sering meminta duit daripada mangsa.
"Hasil siasatan turut mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau dadah dan jenayah serta positif dadah jenis morfin," katanya. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Suspek dijangka direman di Mahkamah Butterworth di sini esok bagi siasatan lanjut.
0 comments:
Post a Comment