Kerajaan akan menumpukan ke atas golongan B40 dan M40, isu rakyat untuk mendapatkan pembiayaan bagi pembelian Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia dalam Belanjawan 2017 yang akan dibentangkan pada Oktober depan.
Namun, perkara utama yang perlu diambil kira ialah peruntukan yang bersesuaian dengan pendapatan yang diperoleh kerajaan sebelum memuktamadkan belanjawan pada tahun depan. Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, buat masa ini kerajaan masih meneliti pelbagai perkara yang perlu diambil kira dalam Belanjawan 2017.

“Selain itu, dari segi BR1M akan diteruskan seperti mana yang dijanjikan oleh kerajaan. Sama ada nilai peruntukannya sama atau lebih tinggi saya tidak boleh membuat andaian ketika ini,” katanya pada majlis pelancaran Bursa Malaysia-i di sini, semalam.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai keadaan ekonomi negara semakin merundum seperti yang disebarkan dalam media sosial, katanya, perkara itu dilakukan oleh individu yang tidak mempunyai asas yang kukuh untuk menilai prestasi ekonomi Malaysia ketika ini.

“Sekiranya bercakap mengenai hutang negara, kita harus faham ia dipinjam untuk membiayai projek yang menggerakkan ekonomi negara dan pembayaran semula masih boleh diuruskan dengan baik buat masa ini,” katanya.
Laporan Ekonomi 2015/ 2016 mentakrifkan kumpulan B40 sebagai isi rumah dengan pendapatan bulanan sehingga RM3,855, manakala M40 (kumpulan berpendapatan 40 peratus sederhana) berpendapatan antara RM3,860 dan RM8,319.
0 comments:
Post a Comment