Demi menyahut cabaran mengamalkan gaya hidup sihat, 10,000 peserta majoritinya belia menyertai acara larian berhalangan Great Eastern Genting King of the Mountain 2016 di Genting Highlands, baru-baru ini.
Acara larian berhalangan anjuran Viper Challenge dengan kerjasama Genting Highlands ditaja sepenuhnya oleh Great Eastern. Dianjurkan kali kedua di Genting Highlands, peserta perlu mengharungi trek larian sejauh 10 kilometer (km) dan 15 halangan berlainan yang berada di sepanjang trek.
Seawal 6.30 pagi peserta pelepasan awal pagi mula membanjiri tapak karnival dan bersenam meregangkan otot sebelum memulakan larian. Peserta dilepaskan secara berperingkat setiap setengah jam. Trek larian bermula di tapak karnival kemudian melalui Goh Tong Jaya, Awana Genting, tempat letak kereta Genting Skyway dan berakhir di ladang kuda Awana.

Cabaran ini memerlukan peserta memiliki bahagian atas badan dan genggaman tangan yang kuat untuk melepasinya. Cabaran paling menarik pada pandangan penulis adalah halangan ‘Peg Wall’ dan ‘Rotating Cubes’ apabila peserta daripada pelbagai bangsa bekerjasama membantu antara satu sama lain untuk melepasi tembok besar setinggi 12 kaki serta empat kiub berputar.
Secara keseluruhan, semua halangan jelas menguji tahap ketahanan diri peserta dari segi mental dan fizikal. Selain itu ia mengeratkan silaturahim antara anak muda daripada pelbagai bangsa yang datang secara individu mahupun berkumpulan. Peserta, Lee Yongzhe, 21, berkata dia berjaya melepasi semua 15 halangan dan ini acara Viper Challenge kali kedua berturut-turut disertainya.
“Semua halangan berjaya saya lepasi dengan mudah. Pada masa akan datang pihak penganjur mungkin boleh mengurangkan jarak trek larian dan menyediakan banyak halangan yang lebih mencabar fizikal dan mental peserta,” katanya.
Lain pula bagi Nurliza Masood, 26, ini kali pertama dia menyertai acara larian berhalangan namun berjaya menamatkan larian sejauh 10 kilometer walaupun tidak melakukan persiapan awal dari segi mental dan fizikal.

Timbalan Presiden Bahagian Promosi dan Hiburan Resorts World Genting Kevin Tann berkata acara ini antara yang ditunggu-tunggu peminat sukan lasak dan mereka yang meminati dunia kecergasan serta kesihatan.
“Acara larian ini istimewa kerana ia satu larian yang bukanlah satu perlumbaan tetapi cabaran menyelesaikan semua halangan disediakan. Selesai menempuh semua halangan, peserta boleh menikmati pelbagai aktiviti menarik di tapak karnival seperti karnival muzik dan menikmati makanan dari trak makanan,” katanya.
Selain itu, peserta juga berpeluang menikmati hidangan lazat seperti ayam golek selain pelbagai minuman serta pencuci mulut turut dijual memudahkan peserta mengisi perut selepas mengharungi trek larian sejauh 10km. Setiap peserta yang berjaya tiba di garisan penamat dan mengharungi semua 15 halangan mendapat pingat dan kemeja-T Viper Challenge sebagai tanda kejayaan.
0 comments:
Post a Comment