Penulis mengakui bahawa generasi ke-10 Honda Civic sebuah jentera segmen C yang mantap dari segi prestasi serta pengendaliannya. Sesi pandu uji yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada hujung Ogos lalu, membuktikan enjin 1.5 liter VTEC Turbo cukup mengujakan ketika dikerah pada tahap maksimum.
Berdasarkan spesifikasinya, enjin turbo baharu mula diperkenalkan secara global pada Pameran Auto Tokyo 2013 dengan menyalurkan kuasa 173PS dengan tork setinggi 220Nm. Ternyata sistem turbo yang dibekalkan itu meningkatkan sehingga 18PS bagi enjin Honda Civic baharu berbanding model sebelum ini dengan menggunakan enjin 2.0 liter inspirasi biasa.

Penggunaan gear ‘S’ itu untuk pertukaran secara manual sepenuhnya supaya ia tidak berubah kepada automatik, selain mahu memberi tenaga maksimum serta mengurangkan kelajuan sebelum memasuki selekoh.
Pada mulanya, penulis rasa tidak yakin untuk memberi beban kepada enjin baharu itu dengan mengerah putaran seminit (RPM) melebihi 5,000 bagi memberi kuasa sepenuhnya untuk mengekori konvoi lain. Secara peribadi penulis tidak sukakan transmisi CVT, namun kotak gear yang digunakan pada jentera ini ternyata memenuhi kriteria biarpun tidak tergolong dalam kategori kereta sport.
Pedal minyak sedikit responsif sebaik kaki menekannya, malah tidak kedekut menyalurkan pada tahap maksimum, selain bunyi enjin yang meruap masuk ke dalam kabin adalah minimum. Pada masa sama, penulis kurang menekan brek ketika memasuki selekoh pada kelajuan tinggi kerana jentera ini sangat stabil dan rasa kurang membuang.

Apa boleh dikongsikan, jentera ini memberi kuasa tujahan yang sangat baik berbanding model lain malah rasa lancar untuk memecut tahap maksimum sekali gus mengubah tanggapan penulis terhadap transmisi CVT.
Jika dilihat bentuknya pula, boleh dikatakan model baharu ini tampak sporty dengan kombinasi rekaan kereta sedan dan coupe selepas ketinggian bumbung dikurangkan 20 milimeter (mm) berbanding generasi sebelum ini. Jarak rodanya juga dipanjangkan 30mm menjadikan 2.7 meter dan lebar mencecah 1.8 meter iaitu penambahan 45mm berbanding Honda Civic generasi kesembilan.
Penambahan itu memberi impak positif terhadap ruang kelegaan kaki serta lebih luas bagi memberi keselesaan kepada semua penumpangnya. Ketika berada di ruang kokpit, meter kelajuan termaju kelihatan menyerlah dengan paparan digital bagi menyalurkan maklumat RPM, kelajuan dan arah navigasi.

Material berkualiti yang digunakan terutama pada balutan kerusi serta papan pemuka membuatkannya tampak lebih premium seperti jentera jenama Eropah. Sepanjang memandu uji jentera itu, penulis hanya menguji varian tertinggi dengan padanan lampu hadapan berteknologi tinggi seolah-olah kelihatan sebaris, serta lampu belakang berbentuk ‘C’ sekali gus menyerlahkan lagi gaya sporty.
Lebih menarik apabila ia dilengkapi aksesori Modulo membabitkan spoiler, kit badan bampar dan sisi di mana ia dijual secara berasingan berharga RM4,650. Honda Civic terbaharu ini dilengkapi dengan enam beg udara.
Ia juga dilengkapi tempat duduk pemandu pelarasan elektronik, brek parkir elektronik, penghidup enjin kawalan jauh dan kunci automatik. Sementara itu, Penolong Ketua Projek Honda Civic baharu, Hitoshi Ito yang turut mengikuti sesi pandu uji itu memaklumkan bahawa kereta Audi A3 menjadi penanda aras dalam pengendalian Honda Civic baharu.

INFO HONDA CIVIC 1.5 TC-P
- Enjin: 1.5 liter DOHC VTEC Turbo
- Kuasa Maksimum: 173PS pada 5,500rpm
- Tork Maksimum: 220Nm antara 1,700 sehingga 5,500rpm
- Transmisi: CVT dengan pedal penukaran - Harga: RM135,800
0 comments:
Post a Comment