Kecenderungan berlakunya kes tipu melalui laman media sosial yang semakin menjadi-jadi di kalangan warga netizen perlu diberi perhatian memandangkan tahap kesedaran mengenai jenayah itu masih rendah.
Ini berikutan satu lagi kes yang dilaporkan di Balai polis Sentral kelmarin membabitkan seorang wanita berumur dalam lingkungan 60-an yang mengalami kerugian RM144,000 selepas ditipu anak angkatnya.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahri Abdullah ketika diminta pengesahan semalam memberitahu, pihaknya telah menerima satu laporan berhubung kes tersebut. Katanya, kes tersebut kini dalam siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana disyaki menipu.

Difahamkan, modus operandi suspek ialah memperdayakan mangsa untuk membuat bayaran bagi melepaskan satu bungkusan kiriman yang dihantar kepada pengadu kononnya mengalami masalah dan jika tidak, penghantaran akan disekat.
Difahamkan sebelum itu, mangsa telah menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai wakil daripada syarikat penghantaran. Wanita berkenaan memberitahu pengadu perlu membuat bayaran untuk tujuan insurans dan cukai bagi mendapatkan barang tersebut.
Tanpa curiga, pengadu telah membuat beberapa transaksi pembayaran melalui pemindahan wang yang dimasukkan ke dalam akaun yang diarahkan. Apabila bungkusan yang dikatakan mengandungi pelbagai barangan bernilai termasuk barang kemas, kasut, beg tangan berjenama dan sebagainya tidak juga sampa-sampai, suspek mula menghidu sesuatu yang tidak kena.
Bagaimanapun, usaha pengadu menghubungi anak angkatnya menemui jalan buntu apabila akaun Facebook anak angkatnya sudah tidak dapat diakses lagi. Malangnya, semuanya sudah terlambat bagi pengadu apabila sudah terhantuk baharu terngadah.
Malah, sehingga laporan polis dibuat, pengadu masih belum menerima bungkusan daripada anak angkatnya yang sememangnya tidak wujud. Untuk makluman, orang ramai yang gemar bersosial di laman media sosial dinasihatkan agar lebih berwaspada apabila memilih teman yang tidak diketahui latar belakang mereka.

Mengulas lanjut mengenai kes tipu atas talian, Saiful berpendapat kebanyakan mangsa tipu terlalu tamak dengan kebendaan. “Selain terlalu taksub dengan kebendaan yang belum tentu milikannya, sikap degil dan tidak mengendahkan nasihat menjadi punca menjuruskan mereka menjadi mangsa mudah untuk ditipu,” tambahnya.
0 comments:
Post a Comment