My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 8 September 2016

    Harap Pemain Bersara Kembali


    JURULATIH Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee mengakui beliau berdepan tugas sukar untuk membentuk skuad ampuh selepas kehilangan khidmat Safiq Rahim, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak, S. Kunanlan dan Amirul Hadi Zainal selepas keempat-empat tonggak Johor Darul Takzim (Johor DT) itu bersara daripada pentas antarabangsa sejak Julai lalu. 

    Kelmarin, skuad negara dikejutkan dengan kekalahan 0-3 kepada musuh tradisi, Indonesia dalam aksi pemanas badan di Stadium Manahan, Solo. Kesemua gol bolos dalam tempoh 22 minit dengan pasukan yang baharu bebas daripada pergantungan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sejak Mei lalu.

    Apa yang pasti, Kim Swee sedar bahawa skuad negara masih memerlukan khidmat keempat-empat pemain itu terutama Aidil dan Kunanlan di bahagian te­ngah pertahanan yang dilihat banyak melakukan kesilapan mudah ketika bertemu skuad Garuda.

    Menurut pengendali kelahiran Melaka itu, beliau tidak menolak bahawa kekalahan skuad negara itu menjadi keputusan tidak munasabah disebabkan kesilapan-kesilapan yang membenarkan Indonesia berjaya membolosi gawang skuad negara dalam tempoh tidak sampai setengah jam.

    “Saya faham kita tewas dengan satu keputusan tak munasabah tetapi secara realitinya apa yang kita perlukan?

    "Jadi, apa yang boleh saya lakukan apabila kehilangan empat pemain utama seperti Aidil dan Kunanlan selain Safiq dan Amirul Hadi. Pasukan yang saya bina ketika lawan Timor Leste bertambah baik selepas Siri Jelajah Oceania tetapi tiba-tiba saya terpaksa melakukan, bukan putaran kecil tetapi putaran besar untuk menggandingkan mereka pada peringkat antarabangsa, bukan senang.

    “Sudah tentu, bagi saya jika mereka melihat perlawanan semalam (kelmarin), jika mereka menjiwai pemain-pemain lain, saya harap mereka kembali (bersama skuad Harimau Malaysia),” katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.

    Dalam perkembangan sama, Kim Swee memberitahu, beliau hanya meletakkan tiga pemain daripada senarai utama iaitu Brendan Gan, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dan Baddrol Bakhtiar dalam ke­sebelasan utama.

    “Kekalahan kita tidak boleh diterima kerana kesilapan kita sendiri. Selain itu, saya tidak nampak yang kenapa kita harus timbulkan isu yang begitu besar dan seperti semua tahu, saya menamakan 14 pemain baharu.

    “Ini bukan mudah sebelum saya memanggil pemain, saya pernah berkata yang mana pertahanan merupakan bahagian yang paling penting. Jadi, (bolos) tetap terjadi. Ia bukan senang apabila keempat-empat pemain pertahanan saya ditukarkan dan digandingkan buat pertama kali.

    “Kalau kita lihat dari senarai pemain (pertengahan) tengah, sudah tentu Fadhli Shas tidak bermain (dengan kerap bersama Johor DT), Ronny Harun bermain sebagai pemain tengah bersama Sarawak, Shahrul Saad bermain posisi tengah de­ngan Perak, Amer Saidin bermain sebagai bek kanan, jadi apa pilihan saya yang ada?

    “Ada pemain yang beraksi di bahagian pertahanan tetapi tidak memiliki pengalaman cukup tinggi dalam peringkat antarabangsa. Saya dinilai melalui KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) dan keputusan termasuk ranking. Kamu mahu saya lakukan apa? Jika kamu mahu saya melakukan pendedahan pemain muda tetapi kita tewas, ranking tak naik dan pada masa sama, kita cuba merebut seberapa banyak mata untuk naikkan ranking. Jadi, mana satu kita perlu lakukan?” katanya.

    Tambah Kim Swee, beliau tetap akan cuba menggunakan sumber pemain sedia ada meskipun menyedari masa semakin suntuk untuk mengharungi kempen Piala AFF Suzuki di Myanmar akhir November depan.

    “Saya perlu lakukan seberapa baik mungkin dengan apa yang saya ada. Saya tidak boleh mengambil pemain yang belum cukup matang pada peringkat antarabangsa dan apa yang saya dapat lihat, mungkin ada satu dua penambahan. Saya seperti biasa, setiap minggu penolong jurulatih saya (Brad Maloney) akan ke stadium untuk menyaksikan pemain-pemain yang mana kita boleh panggil.

    “Saya tetap akan lakukan perkara itu dan jika ada penambahan di bahagian tengah pertahanan, saya perlu menggunakan peluang bermain pada perlawanan persahabatan menentang Singapura (7 Oktober) dan Afghanistan (11 Oktober) untuk menilai mereka.

    “(Pemain pertahanan tengah) amat terhad. Jika kamu melihat sebelum ini, mereka (pasukan-pasukan di Liga Malaysia) menggunakan banyak pemain import di bahagian tengah pertahanan. Selain itu, kebanyakan pemain pertahanan tengah tempatan berusia 28 atau 29 tahun. Jika saya memilih mereka, saya akan dikatakan menjadi isu kerana mengambil pemain berusia. Jika saya mengambil pemain muda, mereka tidak boleh cemerlang pada peringkat antarabangsa,” ujarnya.


    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Harap Pemain Bersara Kembali Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top