My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 15 September 2016

    Kuasa Jahat Berganda



    Sejak ditayangkan pada 1999, syarikat Lionsgate berusaha mencari konsep terbaik untuk menerbitkan semula filem Blair Witch Project agar dapat menarik lebih ramai peminat baru. Dengan kemunculan deretan kisah seram sepanjang tempoh itu, pembikin Blair Witch sudah tidak sabar menanti reaksi penonton terhadap filem ini.

    Bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara hari ini, Blair Witch menampilkan wajah baru iaitu James Allen McCune, Valorie Curry dan Callie Hernandez. Sutradara Adam Wingard berkata idea menghasilkan semula Blair Witch hadir ketika mempromosikan filem V/H/S/2 bersama penulis skrip Simon Barrett di Festival Filem Sundance pada 2013.

    “Kami terserempak dengan pencipta Blair Witch Project, Eduardo Sanchez dan Gregg Hale. Sebagai peminat Blair Wicth kami bertanya bila sekuel karya itu akan dihasilkan. Bagaimanapun, mereka tidak dapat beri jawapan yang pasti,” katanya.

    Menurut Wingard, seminggu selepas pertemuan itu pihak Lionsgate menghubunginya untuk berbincang mengenai pembikinan sekuel Blair Witch Project. “Saya mahu menghasilkan karya yang boleh memberi impak seperti The Texas Chainsaw Massacre. Dalam Blair Witch, watak sentiasa melarikan diri sebelum bertukar menjadi senario yang lebih seram. Kuasa jahat di hutan dalam pembikinan kali ini lebih kuat daripada filem terdahulu,” katanya.

    Bagi menonjolkan lagi suasana seram, Wingard berkata dron dan kamera kecil yang dipasangkan di kepala digunakan untuk penggambaran filem berkenaan. “Penggunaan ‘found footage’ kurang sesuai kerana penonton menyedari kewujudan kamera. Saya mahu penonton memberi tumpuan sepenuhnya terhadap jalan cerita.

    “Ada penonton merungut kamera dalam filem pertama asyik bergoyang namun teknik itu yang menjadikan cerita ini lebih seram dan seolah benar-benar berlaku,” katanya.

    Berbeza dengan Blair Witch Project yang hanya memaparkan suasana gelap, Wingard mahu sekuel ini terang dan menggunakan lampu suluh ketika penggambaran dalam hutan. “Kamera sekarang lebih sensitif terhadap cahaya dan kesannya pasti memberi pengalaman berbeza kepada penonton.

    “Selain itu, kami tidak memerlukan teknik imej janaan komputer (CGI) untuk babak seram dan turut membina semula rumah sama seperti dalam Blair Witch Project,” katanya.

    Sementara itu, Barrett berkata bagi memelihara mitos Blair Witch, setiap petunjuk dan informasi yang dipaparkan dalam The Blair Witch Project dititikberatkan. “Papan tanda, perbualan berkumpulan Facebook, novel grafik serta bahan bacaan pemuda terbitan di Eropah masih dikekalkan.

    “Mitos ini sangat menarik kerana saya mendapati filem asal kurang memberi penjelasan terhadap kejadian yang berlaku. “Oleh itu, saya mengembangkan mitos ini dan mahu melihat reaksi orang sekeliling,” katanya.

    Jelas Barret, produksi berusaha merahsiakan pembikinan Blair Witch kerana mahu penonton teruja menanti tayangannya. “Bukan senang menyimpan rahsia dan terpaksa mencipta beberapa versi skrip yang memaparkan jalan cerita berbeza. Malah, ketika uji bakat pelakon diberikan skrip palsu dan mereka hanya diberitahu mengenai filem ini ketika menandatangani perjanjian,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kuasa Jahat Berganda Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top