My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 15 September 2016

    Sambutan Meriah Atlet Paralimpik




    PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka hadir pada majlis sambutan besar-besaran kontinjen Paralimpik negara yang beraksi pada Sukan Paralimpik Rio di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 22 September ini. 

    Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, mesyuarat Kabinet semalam bersetuju untuk mengadakan majlis berkenaan bagi menghargai kejayaan atlet Paralimpik negara yang meraih tiga pingat emas setakat ini.

    Tiga pingat emas berkenaan dimenangi masing-masing oleh pelari pecut Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 (cerebral palsy) lelaki; Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran) dan Abdul Latif Romly menerusi acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran).

    “Mereka (kontinjen Paralimpik negara) kemudian akan dibawa ke Pusat Kecemerlangan Paralimpik di Kampung Pandan (bagi meraikan kejayaan mereka),” katanya pada sidang akhbar Shah Alam semalam.

    Pada masa sama, Khairy berkata, kejayaan cemerlang dilakar atlet Paralimpik negara pada temasya sukan berkenaan memberi kesedaran kepada masyarakat untuk mengiktiraf sumbangan golongan kurang upaya terhadap negara.

    Dalam perkembangan sama, Khairy mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membuat pembayaran pencen bulanan sebanyak RM2,000 kepada bekas atlet Paralimpik negara, P. Mariappan bermula Oktober ini.

    Beliau menjelaskan walaupun Mariappan tidak lagi mewakili negara, pihaknya tidak pernah melupakan sumbangan Mariappan yang menyumbang gangsa dalam acara powerlifting pada Sukan Paralimpik 1988 dan 1992 di Korea Selatan dan Sepanyol.

    Khairy menambah, MSN bersedia menawarkan peluang pekerjaan kepada Mariappan selaku jurulatih di Pusat Kecemerlangan Paralimpik namun terpulang kepada Mariappan sama ada untuk menerima tawaran itu.

    “Kesemua pemenang pingat Sukan Paralimpik terdahulu turut akan menerima pencen bulanan,” katanya. Di bawah skim imbuhan tetap MSN, atlet Paralimpik negara yang meraih pingat emas akan menerima pencen bulanan berjumlah RM5,000; pingat perak (RM3,000) manakala pemenang pingat gangsa menerima RM2,000.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Sambutan Meriah Atlet Paralimpik Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top