My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 2 September 2016

    Mahasiswa Penentu Masa Depan Negara



    TANGGAL 31 Ogos setiap tahun merupakan tarikh keramat dan istimewa kepada seluruh warganegara Malaysia. Tarikh itu merupakan detik bermulanya masyarakat di negara ini hidup bebas tanpa dibelenggu oleh peraturan dan undang-undang dari negara luar ataupun pihak asing. 

    Sejak bermulanya tarikh keramat itu pada 31 Ogos 1957, seluruh masyarakat di negara ini telah menikmati hidup bebas tanpa cengkaman dan arahan daripada pihak luar. Bagaimanapun, segala keindahan dan kenikmatan serta kebebasan itu tidak berkekalan sekiranya generasi muda terutamanya golongan mahasiswa tidak mengambil peduli perkara yang berlaku pada masa ini.

    Golongan mahasiswa perlu sedar bahawa musuh dan ancaman dari dalam dan luar negara akan sentiasa memainkan peranan mereka agar negara yang tercinta ini kembali dijajah sama ada dalam bentuk penjajahan fizikal ataupun ideologi. Mahasiswa juga perlu sedar, kumpulan ini akan sentiasa menjadikan mereka sebagai sasaran utama untuk mencapai matlamat dan agenda peribadi.

    Sekiranya pihak yang tidak bertanggungjawab ini berjaya mempengaruhi kumpulan mahasiswa yang berjumlah seramai 1.2 juta, pastinya keharmonian dan kedamaian negara yang dinikmati selepas kemerdekaan akan tergugat.

    Justeru, menjadi tanggungjawab setiap mahasiswa untuk bersatu memastikan agar keamanan dan keharmonian negara selama ini terus dikecapi dan mampu dinikmati oleh generasi akan datang. Bagi memastikan matlamat tersebut dapat dicapai dengan jayanya, setiap mahasiswa perlulah memastikan mereka mempunyai tiga komponen utama dalam diri.

    Tiga komponen tersebut ialah sifat keyakinan diri yang tinggi, ketaatan yang tinggi kepada negara dan kepimpinannya serta sanggup bekerja kuat. Sejarah Jerman, Jepun dan Korea Selatan telah membuktikan, kemajuan yang dinikmati oleh ketiga-tiga buah negara itu disebabkan tiga komponen tersebut.

    Pada Perang Dunia Kedua dan Perang Korea, ketiga-tiga negara tersebut telah musnah teruk. Disebabkan mempunyai tiga komponen di atas, ketiga-tiga negara tersebut berjaya dan menjadi contoh kepada dunia pada hari ini.

    Justeru, untuk memastikan keadaan sedemikian juga berlaku di negara tercinta ini, mahasiswa yang merupakan pelapis kepada kepimpinan negara perlulah mempunyai tiga komponen utama tersebut.

    1. Sifat keyakinan diri yang tinggi

    Mahasiswa perlu mempunyai sifat keyakinan diri yang tinggi kepada kemampuan negara dan kerajaan untuk menguruskan negara ini ke arah kecemerlangan. Dengan adanya keyakinan yang tinggi ini mahasiswa yang berjumlah 1.2 juta orang mampu untuk menolak kehadiran musuh negara terutamanya melalui media sosial.

    Dengan adanya sifat ini juga mahasiswa mampu menjadi benteng pertahanan kepada negara dalam menolak segala tuduhan yang dilemparkan oleh pihak asing kepada negara ini. Kegagalan pihak luar untuk menghasut minda dan pemikiran golongan mahasiswa merupakan satu kejayaan yang besar kepada negara daripada dijajah sama ada penjajahan fizikal atau ideologi.

    2. Semangat cinta dan taat kepada negara dan pemimpin

    Mahasiswa yang mempunyai semangat cinta kepada negara dan kepimpinannya sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan maruah negara dan kepimpinannya daripada dinodai oleh musuh.

    Mahasiswa yang mempunyai sifat ini tidak akan dapat dijadikan kuda tunggangan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Justeru, tidak akan ada lagi kumpulan mahasiswa yang akan bersekongkol dengan kumpulan ini mengadakan demonstrasi dan rusuhan.

    3 Sanggup bekerja keras

    Mahasiswa juga bertanggungjawab untuk meneruskan kesinambungan kedamaian dan kemakmuran negara yang dicapai selepas kemerdekaan pada tahun 1957. Golongan mahasiswa perlu bekerja keras untuk memastikan segala keistimewaan dan keindahan yang dinikmati selamanya berterusan pada masa hadapan. 

    Sikap dengar dan lihat tidak boleh dijadikan sebagai pegangan hidup mahasiswa. Mahasiswa perlu bersifat proaktif dan kreatif dalam semua perkara agar kecemerlangan yang diperoleh akan terus berkekalan.

    Sebarang usaha dan tindakan yang mencalarkan imej negara perlulah ditentang agar usaha mereka yang tidak bertanggungjawab ini tidak menular dalam masyarakat di negara ini. Sekiranya seluruh mahasiswa mampu mengaplikasikan ketiga-tiga komponen utama ini di dalam diri masing-masing, penulis percaya negara tercinta ini akan terus aman dan merdeka daripada sebarang pengaruh luar. 

    Ingatkan keruntuhan dan kemusnahan yang berlaku kepada sesebuah negara bukanlah disebabkan oleh bangsa atau negara luar tetapi ia adalah disebabkan oleh bangsa dan negara itu sendiri.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Mahasiswa Penentu Masa Depan Negara Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top