Kerja pembinaan fasa pertama Lebuh Raya Pan Borneo Sabah, yang antara lain membabitkan pembinaan Jalan Donggongon-Papar, berjalan lancar mengikut jadual ditetapkan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Saya berpuas hati dengan kemajuanya. Setakat ini (kerja-kerja pembinaan) berjalan mengikut jadual ditetapkan. Belum ada masalah besar yang perlu diselesaikan, hanya membabitkan isu-isu kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia dan Majlis Menandatangani Aku Janji Program Transformasi Pembinaan Industri (CITP) oleh penggiat industri pembinaan Sabah di sini, semalam. Turut hadir timbalannya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
Dalam pada itu, Fadillah berkata pelantikan kontraktor bagi semua 35 pakej yang ditetapkan perlu dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Teknikal Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah selewat-lewatnya akhir tahun depan. Fadillah berkata ini bagi memastikan kerja-kerja pembinaan lebuh raya untuk keseluruhan pakej terbabit dapat dimulakan menjelang 2018.
Bagaimanapun, katanya, jawatankuasa teknikal itu yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan negeri Tan Sri Sukarti Wakiman ketika ini sedang berusaha untuk memuktamadkan pelantikan perunding projek. “Perunding ini nanti (antara lain) akan membuat kaji selidik, reka bentuk terperinci serta reka bentuk kejuruteraan dan daripada situ nanti, baru melantik kontraktor.
“Untuk lantikan kontraktor ini, rakan pelaksana projek (PDP) melibatkan diri kepada semua pihak berkepentingan memandangkan projek ini adalah projek besar bukannya projek langsung dan kita memerlukan koordinasi yang baik,” katanya.
Projek lebuh raya tanpa tol dengan jajaran 1,236 kilometer bernilai RM12.86 bilion yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada April lepas itu dijangka siap menjelang 2021. Ia akan dilaksanakan menerusi tiga fasa dengan fasa pertama membabitkan pembinaan 706 kilometer lebuh raya.
0 comments:
Post a Comment