Tindakan seorang lelaki memasang nombor pendaftaran palsu pada kereta curi mengaburi pihak berkuasa selama tiga tahun sebelum berjaya ditangkap polis, kelmarin. Difahamkan, suspek berusia 26 tahun dan berasal dari Miri itu ditahan anggota kereta peronda polis (MPV) Kuching yang melakukan rondaan di Batu 3 di sini sekitar jam 11 malam.
Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai yang mengesahkan tangkapan tersebut memberitahu, kereta jenis Toyota Caldina tersebut sebelum ini pernah dilaporkan hilang di Jalan Bintang, Miri pada Januari tahun 2013.
“Tangkapan dibuat semasa anggota MPV Kuching membuat rondaan dan pemeriksaan pada sebuah kereta jenis Toyota Caldina melalui sistem alat ‘Mcard’ mendapati butir-butir kenderaan tidak sama.
“Semakan mendapati nombor pendaftaran yang digunakan adalah milik kereta Toyota Station Wagon. Intipan selama 30 minit kemudian berjaya menahan suspek yang dilihat masuk ke dalam kereta tersebut dan pemeriksaan nombor casis serta nombor enjin mendapati kereta tersebut pernah dilaporkan hilang di Miri,” katanya.
Menurutnya lagi, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dan direman untuk siasatan lanjut. Kereta tersebut juga disita di IPD Kuching sementara siasatan masih dijalankan.
0 comments:
Post a Comment