My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 5 September 2016

    SK Bario Ranap

    RANAP: Keseluruhan bangunan kayu dua tingkat yang menempatkan bilik darjah tahun satu hingga enam ranap dalam kebakaran jam 5.30 petang semalam.

    Sebuah bangunan kayu dua tingkat yang menempatkan bilik darjah serta bilik komputer Sekolah Kebangsaan (SK) Bario ranap dalam satu kebakaran yang berlaku jam 5.30 petang semalam. 

    Sebuah blok bangunan kayu dua tingkat yang menempatkan tujuh bilik darjah dari tahun satu hingga enam itu juga sudah disediakan untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dijadualkan bermula hari ini, sebuah bilik komputer dan sebuah bilik dapur untuk prasekolah.

    Sekolah tersebut yang menempatkan 89 murid dari tahun satu hingga enam dengan seramai 16 muridnya menduduki UPSR hari ini, tergamam apabila bangunan tersebut yang satu-satunya menempatkan semua bilik darjah terbakar yang masih belum dikenal pasti puncanya.

    Blok yang sama turut dijadikan sebagai pusat pembuangan undi pada Pilihan Raya Negeri bulan Mei lepas, bagi konstituensi Mulu. Sementara itu, ADUN Mulu Datuk Gerawat Gala ketika dihubungi jam 7 malam tadi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu bahawa keseluruhan bangunan blok tersebut musnah.

    Gerawat turut melahirkan rasa bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku kerana ketika kejadian semua murid berada di dewan makan untuk persediaan makan malam. Ketua Kaum Frezier Kaya berkata kebakaran disedari oleh pekerja di sekolah rendah tersebut, yang kemudian bertindak pantas mendapatkan semua alat pemadam api bagi memadamkan kebakaran, namun tidak berhasil apabila api semakin marak.

    Ketiadaan perkhidmatan bomba di Bario telah memburukkan lagi keadaan dan penduduk kampung terpaksa bergotong-royong merobohkan koridor dan mengumpil atap yang menghubungkan blok yang terbakar dengan asrama murid bagi mengelak api merebak ke bangunan asrama dan dewan makan.

    “Kami akhirnya mencipta ‘fire breaker’ (penghadang api) seperti yang diajar oleh pihak bomba, bagi menghalang api merebak ke bangunan asrama yang hanya terletak 10 meter dari blok yang terbakar itu,” katanya.

    “Sekarang (sehingga jam 7 malam) kami masih membuat ‘overhaul’ menggunakan dua pam air dari sebuah syarikat swasta yang ada di sini dan sumber air dari tangki simpanan air sekolah untuk memadamkan kebakaran,” jelasnya.

    Dalam perkembangan berkaitan, sumber memberitahu bahawa perbincangan telah diadakan dengan pihak sekolah untuk membolehkan UPSR diteruskan dengan kesemua 16 calon UPSR sekolah itu menduduki peperiksaan mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bario, sepanjang tempoh dari 5 hingga 8 September ini.

    Menurut sumber itu lagi, pihak sekolah bersyukur kerana kesemua kertas peperiksaan UPSR tidak terjejas kerana disimpan di bilik keselamatan SMK Bario. “Manakala semua bahan am peperiksaan seperti kertas jawapan objektif bermaklumat dan helaian tambahan, turut terselamat kerana disimpan di blok pentadbiran SK Bario.

    “Penyelia kawasan bilik keselamatan SMK Bario juga telah diminta menyediakan pensil 2B, pemadam getah dan pembaris sekiranya calon-calon memerlukannya,” kata sumber tersebut lagi. Sementara itu, Gerawat berkata beliau akan terbang ke Bario hari ini untuk meninjau keadaan dan menghantar bantuan segera yang diperlukan oleh pihak sekolah.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: SK Bario Ranap Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top