Sehingga hari ini, masih ramai dikalangan penyokong UMNO dan BN meletakkan MCA sebagai salah satu ejen DAP dalam UMNO hanya bersandarkan kepada sentimen perkauman dan beberapa kenyataan yang agak bercanggah dengan kenyataan pucuk pimpinan BN.
Sebenarnya, sejak dari awal penyertaan MCA dalam Perikatan, komitmen MCA sebagai salah sebuah parti komponen utama BN tidak pernah berubah walaupun Presidennya bersilih ganti. MCA masih kekal dengan caranya yang tersendiri dalam memperjuangkan nasib kaum Cina dibawah pentadbiran Barisan Nasional.
Apa yang berlaku sebenarnya adalah, pembangkang terutamanya DAP cuba menghasut kebencian ramai menerusi beberapa siri propaganda yang mahu melihat perpecahan berlaku di dalam BN. Mereka sedar, selagi MCA dan MIC kekal komited bersama-sama BN, sukar untuk mereka menumbangkan BN terutamanya sekali UMNO.
Ketika bertanyakan hal ini kepada salah seorang orang kuat MCA baru-baru ini, beliau yang enggan namanya disiarkan mengakui, MCA kadang kala tersepit dengan pelbagai mainan fitnah dan propaganda yang dilemparkan oleh pembangkang terutamanya DAP.
Sambil mengakui ada beberapa keputusan yang diambil oleh pucuk pimpinan MCA agak bercanggah dengan keputusan kepimpinan BN, namun secara dasarnya, ianya tidak merubah pendirian MCA dalam BN. Harus difahami, MCA dan Gerakan lebih banyak memperjuangkan untung nasib kaum Cina dan itu yang mereka lakukan untuk menarik sokongan kaum ini kembali kepada BN.
"Tsunami Cina" yang berlaku semasa PRU ke 13 yang lalu banyak mengajar MCA tentang kehendak dan keperluan kaum Cina di negara ini. Beliau mengakui, tiada apa yang mampu mengubah hakikat Ketuanan Melayu di negara ini namun, kepentingan kaum lain terutamanya kaum Cina juga tidak harus diketepikan kerana negara ini dibina hasil daripada kesepakatan perpaduan semua kaum.
Justeru, beliau meminta semua pihak usah mudah menjatuhkan hukuman keatas MCA andai ada keputusan yang tidak selari dengan keputusan kepimpinan BN. Semua pihak harus melihat, dasar yang digenggam kemas MCA selama ini serta komitmen parti berkenaan dalam mengekalkan kekuatan dan keberkesanan BN dalam negara.
Mudah untuk difahami, jika UMNO komited dengan kaum Melayu, MIC dengan kaum India, PBB dengan Bumiputera Sarawak, MCA pula sentiasa menjadi pembela kaum Cina dalam kerajaan. Namun ianya bukan tiket untuk mereka menjadi dominan dan menjadi ejen pemecah dalam BN seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Paling utama, MCA bukanlah ejen DAP dalam BN.
0 comments:
Post a Comment