Sebelum kegilaan teknologi mewarnai zaman moden, pasti ramai individu yang lahir pada zaman 1990-an dan sebelumnya masih ingat cara berhibur melalui bahan bacaan. Ketika itu, budaya membaca masih hebat meskipun bahan bacaannya mungkin merapu.
Komik antara penghibur dan bahan bacaan ringan bagi melepaskan tekanan selepas tamat waktu persekolahan selain aktiviti luar lain. Jika ditanya kanak-kanak pada era digital kini, ramai yang akan berkata masa mereka dihabiskan di depan gajet.
Bukanlah salah untuk berdepan gajet namun kadangkala kita mengabaikan keceriaan menghadap sesuatu bukan digital atau kedua-duanya seiring bersama. Misalnya budaya membaca komik yang bukanlah membuang masa kalau kena pada tempatnya tetapi ia memerah otak bergerak aktif dengan visual dan susunan ayat yang dekat pada imaginasi manusia itu sendiri.
Bahan bacaan ringan terbabit mempunyai keupayaan membentuk imaginasi seterusnya menghasilkan budaya kreatif dalam kalangan anak muda asalkan ia tidak berlebihan dan menganggu aktiviti lain dalam pembelajaran.
Namun, budaya membaca komik kini agak sepi kerana aktiviti sosial remaja dalam dunia seperti WeChat, Facebook, Instagram, Twitter atau Snapchat. Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang, sebab itu kita lihat aktiviti remaja di laman sosial seakan-akan menggusarkan dengan bahasa yang dikategorikan sebagai ‘dak dak wicet’.
Ia berikutan kurangnya perluasan minda dalam komunikasi yang remaja lahir pada 90-an atau sebelumnya belajar daripada komik. Sekarang pun, komik masih ada cuma penghasil karya terutama di negara ini tidak boleh menghasilkan produk yang bagus dalam dunia digital. Dalam erti kata lain, zaman digital atau ‘copy paste’ ini melambakkan komik yang didapati secara percuma.
Bila tumbuhnya kandungan percuma di ‘online’, remaja kurang menghargai nilai seni dalam komik itu sendiri. Kalau dulu, ramai yang pandai menabung untuk membeli komik setiap awal bulan dan menyimpannya dengan baik kerana sayangkan wang dilaburkan bagi komik terbabit.
Namun, sekarang apabila semuanya boleh didapati secara online, tiada lagi keghairahan terhadap sesuatu komik secara serius. Akhirnya, ia mungkin jadi hobi bermusim. Apabila komik itu dikongsi secara meluas di media sosial pula, pengkarya rugi besar dalam memperoleh keuntungan.
Sekurang-kurangnya, keuntungan terbabit yang menjadi motivasi bagi menghasilkan bahan yang lebih baik namun jika ia sudah tiada, nilai seni dalam komik boleh mati tanpa ada sokongan modal bagi meneruskan legasi. Internet seharusnya menjadi salah satu platform bagi membudayakan komik dengan idea segar tapi ia seakan-akan membunuhnya di Malaysia.
Di Jepun, budaya Manga masih mempunyai nilai yang tinggi dan meskipun dimuatkan dalam bentuk digital, pengguna masih sanggup mengeluarkan wang untuk mendapatkan bahan bacaan terbabit secara online. Ia berbeza dengan budaya mahu semuanya ‘free’ di negara ini yang pada akhirnya menghasilkan budaya cetak rompak.
Lihat saja pada Comic House yang menutup kilang penerbitannya kerana sokongan pengguna kini beralih kepada membaca secara percuma di Internet. Lihat saja, komik kanak-kanak tertua di United Kingdom (UK), The Dandy yang membuat kejutan apabila mereka mengumumkan untuk menghentikan cetakan komik secara mingguan terbabit.
Penerbit mereka, DC Thomson mengesahkan berita itu dan memaklumkan akan meneruskannya hanya secara online. The Dandy akan diteruskan secara online buat kali pertama selepas ia mula dilancarkan pada 1937. Secara purata, pengedaran komik terbabit berjumlah 7,489 naskhah setiap minggu yang dijual pada harga kira-kira RM10.
DC Thomson melancarkan versi komik digital menerusi sistem operasi iOS dikeluarkan Apple yang menjadi medium baru The Dandy. Internet sepatutnya memudahkan akses untuk pembaca meneroka pelbagai bacaan dari mana saja di dunia ini yang menempatkan karya masing-masing dalam dunia digital masa kini dan bukannya menjadi platform membaca secara percuma sehingga hilang mata pencarian orang seni.
Mengikut pemerhatian, tiada komik digital yang lahir selepas gelombang dunia digital dengan kebanyakan hasilnya adalah adaptasi daripada komik berbentuk fizikal yang popular pada masa kini.
Walaupun konsep komik digital membolehkan artis menghasilkan karya masing-masing untuk diterbitkan dalam dunia digital yang sehingga kini menyaksikan sekitar 18,000 komik online, tiada siapa yang boleh memperkenalkan konsep sendiri.
Pengeluar komik terkemuka, Marvel Comics turut mendapat tempias online apabila mereka melancarkan perkhidmatan Digital Unlimited beberapa tahun lalu yang menjadi sistem baru untuk pembaca membeli versi digital. Sudah ribuan naskhah digital membabitkan pelbagai genre dan karakter sudah diterbitkan.
Penerbit komik terunggul itu kini membuat persediaan besar memasarkan produk dalam bentuk digital yang disasarkan kepada pengguna moden. Marvel membuat penampilan ciri khas iaitu fungsi panel pintar yang memiliki kemudahan zum tambahan, meminimumkan masa pindah turun serta memampatkan seberapa banyak komik sepantas mungkin.
Cuma Marvel bernasib baik kerana ia mampu mengembangkan budaya komik terbabit kepada filem yang mendapat reaksi positif. Bagaimana pula di Malaysia? Bagaimana penggiat seni komik mahu mengembangkan karya masing-masing tanpa sokongan rakyatnya sendiri? Di luar negara, meskipun sudah dimuatkan secara online, masih ramai yang membelinya.
Manakala di negara ini pula, jika versi online keluar, tunggu sajalah individu tertentu akan menampal komik terbabit di Facebook masing-masing dan dikongsi pula individu lain. Jika ia berterusan, industri komik di negara ini takkan pergi jauh kerana budaya rakyatnya yang mahu semuanya secara percuma.
0 comments:
Post a Comment