PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) bergelora. Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Besar Selangor membuat keputusan meletakkan jawatan selepas dua tahun memegang jawatan tersebut berkuat kuasa serta-merta.
Turut mengambil pendirian yang sama untuk meletakkan jawatan ialah Amirudin Shari yang memegang jawatan sebagai Pengurus Pasukan Selangor. Azmin dalam satu kenyataan memberitahu, tindakan tersebut diambil kerana kecewa dengan barisan Exco FAS yang tidak bersedia membawa perubahan terhadap pembangunan sukan itu di negeri Selangor.
Menurutnya, barisan Exco FAS juga telah gagal mengemukakan pelan strategik dalam pengurusan bola sepak negeri Selangor termasuk melaksanakan pentadbiran yang profesional sebagaimana yang disaran oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjelang tahun 2018.
Malah, beliau turut mengkritik kepimpinan persatuan itu yang masih dengan sikap dan budaya lama serta mengamalkan politik yang melampau, kolot serta masih bergantung kepada mentaliti subsidi. “Exco FAS terus bergelumang dengan budaya politik yang tidak bertanggungjawab serta mengecewakan penyokong dan rakyat negeri Selangor.
“Sehubungan itu, saya (Azmin Ali) dan Amirudin Shari mengambil keputusan untuk tidak lagi memimpin sebuah organisasi dan pengurusan yang tidak berwibawa serta tidak komited dengan agenda perubahan demi menjamin kegemilangan bola sepak negeri Selangor,” kata Azmin.
Pada Disember 2014, Jawatankuasa Eksekutif FAS melalui Kongres Luar Biasa telah bersetuju dan meluluskan sebulat suara memilih Azmin sebagai Presiden FAS yang baharu. Azmin memberitahu, kerajaan negeri akan memberikan sokongan dan dukungan terhadap kemajuan sukan bola sepak di negeri Selangor melalui kaedah baharu yang akan diputuskan kelak.
Katanya, sukan bola sepak merupakan sukan rakyat yang dapat memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian rakyat negeri Selangor. “Kami memberi jaminan kepada para penyokong bola sepak Selangor bahawa kegemilangan sukan ini akan dijulang melalui pengurusan yang bersih dan berintegriti,” ujarnya lagi.
Kemelut kepimpinan yang melanda FAS sebelum ini mendapat perhatian daripada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah apabila baginda pada 23 Disember lalu menyarankan rombakan drastik perlu dilakukan oleh FAS berikutan perkembangan terkini yang dilihatnya sebagai sangat membimbangkan.
Titah baginda, rombakan tersebut melibatkan keseluruhan struktur organisasi FAS, termasuk mengemaskinikan perlembagaan supaya lebih relevan dan sesuai dengan masa sekarang.
Susulan daripada saranan Raja Muda Selangor itu, pelbagai pihak termasuk pengikut Twitter Mohamed Azmin pada 24 Disember lalu mendesak Menteri Besar itu supaya memulakan rombakan FAS dengan memulakan peletakan jawatannya selaku presiden FAS.
0 comments:
Post a Comment