Melihat gambarnya saja sudah cukup mengagumkan, inikan pula berada di lokasi sebenarnya. Teruja! Ya, itulah pengalaman ‘mahal’ dirasai penulis dan rakan tatkala berpeluang mengunjungi salah satu lokasi pelancongan di Singapura yang semakin menjadi tumpuan bukan saja pelancong asing malah pelancong tempatan. Gardens by the Bay.
Itulah nama yang diberikan kepada taman di tengah bandar raya yang menjanjikan seribu satu pengalaman mengujakan buat pengunjungnya. Terletak di sebelah Marina Barrage Gardens by the Bay mengetengahkan hortikultur terbaik dengan reka bentuk seni bina mengujakan dan penuh dengan keajaiban dari setiap benua kecuali Antartika.
Memenangi pelbagai anugerah antarabangsa termasuklah Kubah Kaca Terbesar (Largest Glass Dome), taman yang merangkumi 101 hektar tanaman reklamasi ini membawa pengunjung menerokai tumbuh-tumbuhan pelbagai spesies dari seluruh dunia.
Memulakan penerokaan di taman yang benar-benar menakjubkan ini, terasa berada di dalam filem Avatar yang cukup popular satu ketika dulu.
Mana tidaknya, kewujudan Supertree atau lebih dikenali dengan gelaran ‘pokok Avatar’ dalam kalangan pelancong asing dan tempatan dengan struktur binaannya unik serta berlampu di ketika malam saling tak tumpah bagaikan pokok ajaib yang diketengahkan di dalam filem itu.
Supertree ini sangat besar. Kebun raya vertikal berbentuk pokok ini tingginya lebih kurang sembilan hingga 16 tingkat. Berjalan di jambatan gantung yang melengkung antara dua Supertree untuk menyajikan pemandangan penuh pesona. Ketika malam juga, pokok ini bertukar menjadi wajah dengan pertunjukan koreografi cahaya dan muzik menarik di Garden Rhapsody antara Supertree.
Usai melihat Supertree yang mengagumkan ini, kunjungan ke Cloud Forest pula bagaikan membawa pengunjung ke lokasi pergunungan setinggi 35 meter diselaputi kabus dan pelbagai tanaman subur di sini. Memasuki Cloud Forest yang juga rumah hijau beriklim sejuk ini, air terjun buatan tertinggi di dunia yang cukup memukau tanda simbolik mengalu-alukan kedatangan pengunjung.
Bergambar berlatar belakangkan air terjun yang sejuk itu dengan ketinggian 35 meter adalah perkara wajib yang dilakukan sebelum meneruskan penerokaan di sini. Di sini juga, pengunjung pasti menemui pelbagai tanaman dari dataran tinggi tropika 2,000 meter di atas paras laut.
Bermula dari ketinggian 35 meter, pelantar yang disediakan membawa pengunjung berjalan turun ke bawah dengan reka bentuk menarik. Di dalam Cloud Forest ini juga menampilkan tujuh zon yang pasti membuatkan anda teruja antaranya Lost World, Cloud Walk, Treetop Walk, Crystal Mountain, Earth Check, +5 Degrees, The Cavern, Waterfall View dan Secret Garden.
Selesai melihat pelbagai tanaman dengan suasana yang dingin persis di kawasan pergunungan, kunjungan ke Flower Dome pula nyata sesuatu yang luar biasa. Nyata ia meriah dengan dekorasi sambutan Hari Natal. Pelbagai tanaman dan bunga-bungaan yang di tanam bertemakan sambutan hari berkenaan.
Dekorasi juga mampu menggamit setiap pengunjung yang datang tidak kita kanak-kanak mahu pun dewasa. Flower Dome pula meniru iklim Mediteranian yang sejuk dan kering dilengkapi dengan sembilan taman dari enam benua.
Ia termasuklah The Baobabs, Succulent Garden, Taman Australia, Taman Afrika Selatan, Taman Amerika Selatan, Taman California, Taman Mediterranean, Olive Grove dan Pertukaran Bunga yang diperagakan. Di Zon pertukaran Bunga yang dip ini, tumbuhan dan bunga yang ditanam adalah mengikut tema yang ditetapkan.
Pastinya apa yang dipertontonkan di sini sangat mengujakan. Sejujurnya, banyak pokok dan bunga-bungaan yang ditanam di sini tidak pernah di lihat di negara kita. Dilengkapi lebih daripada 500,000 tanaman yang terdiri dari 2,200 spesies, pengunjung bebas meneroka di setiap sudut taman indah ini secara percuma.
Taman-taman lain seperti Heritage Gardens, Chinese garden, Indian Gardens, Malay garden, Colonial Garden, Secret Life of Trees termasuk Far East Organization Children's Garden, taman kanak-kanak yang menawarkan pelbagai aktiviti kepada anak-anak juga percuma.
Bagaimanapun, untuk memasuki dua taman atau rumah hijau unik iaitu Flower Dome dan Cloud Forest, pengunjung dikenakan bayaran. Berlatarkan kehijauan dan pemandangan yang menakjubkan di Gardens by the Bay ini, kunjungan ke sini nyata tidak sia-sia. Bunga dan pokok yang tumbuh menghijau mewarnai taman ini nyata sesuatu panorama yang luar biasa.
Aktiviti sampingan dan taman lainnya juga memainkan peranan dalam menjadikan Gardens by the Bay ini antara destinasi percutian yang harus dikunjungi saat berada di Kota Singa ini.
0 comments:
Post a Comment