Pasukan penyelamat terus berusaha menggali runtuhan bangunan semalam selepas angka kematian akibat gempa bumi yang melanda wilayah utara Aceh, Indonesia meningkat kepada 102 orang. Gempa bumi berukuran 6.5 pada skala Richter meranapkan beratus-ratus rumah, bangunan komersial dan masjid di tiga daerah paling teruk terjejas iaitu Pidie Jaya, Pidie dan Bireuen.

Terdahulu, polis berkata, lebih 10,000 penduduk mendapatkan perlindungan di masjid-masjid, bangunan awam dan khemah. Pasukan penyelamat dibantu oleh tentera dan polis melakukan pencarian di kawasan runtuhan menggunakan mesin pengorek bagi mengesan individu yang terperangkap di bawah runtuhan.
“Kami kesuntukan masa untuk menyelamatkan mangsa,” kata Sutopo sambil menambah kerajaan wilayah itu mengisytiharkan tempoh darurat selama dua minggu bagi memberi fokus kepada usaha menyelamat dan menyalurkan bantuan.

Gempa bumi berlaku pada pukul 5.03 pagi dengan pusat gempa terletak 18 kilometer di timur laut Pidie Jaya pada kedalaman 10 kilometer, kata agensi Geofizik kebangsaan.
0 comments:
Post a Comment